Bekas calon Presiden Venezuela, Gonzalez diberi suaka politik di Sepanyol - Naib Presiden

Bernama
September 8, 2024 22:33 MYT
Calon presiden daripada blok pembangkang Venezuela, Edmundo Gonzalez sewaktu hendak membuang undi di pusat pengundian di Caracas, pada Julai lalu. - Reuters
MEXICO CITY: Bekas calon presiden Venezuela Edmundo Gonzalez telah meninggalkan negara itu, setelah menerima suaka politik di Sepanyol, kata Naib Presiden Venezuela Delcy Rodriguez, lapor Sputnik.
"Hari ini (7 September), warga pembangkang Edmundo Gonzalez meninggalkan negara itu, secara sukarela berlindung selama beberapa hari di Kedutaan Kerajaan Sepanyol di Caracas, meminta suaka politik daripada kerajaan itu," kata Rodriguez di Telegram.
Pada Selasa, Pejabat Peguam Negara Venezuela mengumumkan bahawa mahkamah pertama yang mempunyai bidang kuasa mengendalikan sesebuah kes di Venezuela telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Gonzalez, bekas calon presiden bagi pembangkang United Right yang telah tiga kali gagal hadir untuk memberi keterangan apabila disepina.
Pejabat itu sedang menyiasat penerbitan data pusat mengundi pembangkang di sebuah tapak dalam talian sejajar dengan keputusan rasmi Pilihan Raya Presiden oleh suruhanjaya pilihan raya, serta hasutan kepada keganasan jalanan.
"Venezuela telah menyediakan perintah perlindungan yang diperlukan (untuk meninggalkan negara ini) demi keamanan dan keamanan politik di negara ini. Ini mengesahkan penghormatan terhadap Undang-undang yang membimbing Republik Bolivarian Venezuela dalam tindakannya di pentas antarabangsa," kata naib presiden.
Pilihan Raya Presiden di Venezuela diadakan pada 28 Julai dan pada keesokan harinya Majlis Pilihan Raya Kebangsaan mengisytiharkan Nicolas Maduro sebagai presiden yang dipilih untuk 2025-2031. Beliau menerima 51 peratus undi, menurut majlis itu.
Keesokan harinya, protes tercetus di Venezuela dengan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan bermula di Caracas, yang mula membaling batu dan bom botol ke arah pegawai penguat kuasa undang-undang. Menurut Pejabat Peguam Negara lebih 2,000 orang telah ditahan dalam kes kemusnahan infrastruktur negara, hasutan kebencian dan keganasan.
--BERNAMA-SPUTNIK
#Venezuela #Edmundo Gonzalez #suaka #sepanyol
;