Bekas bos Google bimbang AI akan digunakan oleh pengganas
Agensi
Februari 13, 2025 09:45 MYT
Februari 13, 2025 09:45 MYT
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Google menyatakan kebimbangan kecerdasan buatan (AI) digunakan oleh pengganas atau "negara penyangak" untuk "mencederakan orang yang tidak bersalah."
Eric Schmidt memberitahu BBC: "Ketakutan sebenar saya bukanlah yang biasa dibincangkan tentang AI -
saya bercakap tentang risiko yang melampau."
Jutawan teknologi yang memegang jawatan tinggi di Google dari 2001 hingga 2017 itu berkata kepada program Today: "Korea Utara, Iran atau bahkan Rusia" boleh menggunakan teknologi ini untuk mencipta senjata biologi.”
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan agar memantau syarikat teknologi yang membangunkan model AI, tetapi memberi amaran bahawa peraturan yang berlebihan boleh menyekat inovasi.
Dalam masa sama, Schmidt bersetuju dengan kawalan eksport Amerika Syarikat (AS) terhadap cip mikro berkuasa tinggi yang digunakan dalam sistem AI paling maju.
Sebelum meninggalkan jawatan, bekas Presiden AS, Joe Biden menyekat eksport cip mikro ke semua negara kecuali 18 negara, bagi melambatkan kemajuan pihak lawan dalam penyelidikan AI.
Keputusan berkenaan, bagaimanapun, masih boleh dibatalkan oleh Donald Trump.
“Bayangkan Korea Utara, Iran, atau Rusia, yang mempunyai niat jahat,” kata Schmidt.
"Teknologi ini cukup pantas untuk mereka gunakan dan salah guna sehingga boleh menyebabkan kemudaratan yang nyata," katanya kepada pengacara Today, Amol Rajan.
Beliau menambah, sistem AI, jika jatuh ke tangan yang salah, boleh digunakan untuk membangunkan senjata bagi melancarkan "serangan biologi yang dahsyat oleh seseorang yang berniat jahat."
Schmidt turut mencadangkan keseimbangan antara kawal selia kerajaan terhadap pembangunan AI dan peraturan yang berlebihan dalam sektor ini.
"Kebenarannya ialah AI dan masa depan sebahagian besarnya akan dibangunkan oleh syarikat swasta," katanya.
"Kerajaan perlu memahami apa yang kami lakukan dan sentiasa memantau kami."
Beliau menegaskan: "Kami tidak mengatakan bahawa kami sepatutnya dibenarkan bertindak tanpa pemantauan, kami percaya AI harus dikawal selia."
Schmidt bercakap dari Paris sempena AI Action Summit yang berakhir dengan AS dan United Kingdom enggan menandatangani perjanjian berkaitan peraturan AI.
Naib Presiden AS, JD Vance berkata, peraturan yang ketat akan "membunuh industri transformasi ini ketika ia baru bermula."
Schmidt berpendapat, terlalu banyak peraturan di Eropah akan menyebabkan "revolusi AI - yang saya anggap paling penting sejak penemuan elektrik - tidak akan dicipta di Eropah."
Beliau juga mengakui, syarikat teknologi "tidak memahami 15 tahun lalu" potensi sebenar AI, tetapi kini mereka semakin menyedarinya.
Larangan telefon pintar untuk kanak-kanak
Schmidt yang menerajui Google ketika syarikat itu membeli Android, kini menyokong inisiatif untuk mengurangkan penggunaan telefon di sekolah.
"Saya adalah antara mereka yang tidak memahami sepenuhnya dan saya bertanggungjawab atas hakikat bahawa dunia tidak berfungsi seperti yang kami bayangkan dalam industri teknologi," katanya.
"Situasi kanak-kanak sangat membimbangkan saya."
“Saya rasa telefon pintar boleh selamat untuk kanak-kanak, tetapi ia perlu dipantau... kita semua boleh bersetuju bahawa kanak-kanak perlu dilindungi daripada keburukan dunia digital.”
Beliau juga menyokong cadangan melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial.
"Mengapa kita menjalankan eksperimen besar-besaran yang tidak terkawal terhadap golongan paling penting di dunia – iaitu generasi akan datang?" katanya.
Kempen untuk mengehadkan penggunaan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak mendakwa peranti ini menyebabkan ketagihan dan "menjauhkan kanak-kanak daripada aktiviti yang penting untuk perkembangan sihat mereka."
Pada 2024, Parlimen Australia meluluskan undang-undang melarang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada
"bahaya" platform digital.
Satu kajian dalam jurnal perubatan The Lancet mendapati larangan telefon pintar di sekolah tidak meningkatkan kelakuan atau prestasi pelajar.
Namun, kajian itu juga menunjukkan bahawa penggunaan telefon dan media sosial dalam jangka masa panjang dikaitkan dengan keputusan yang lebih buruk dalam semua aspek tersebut. - BBC