Bekas banduan bunuh ibu bapa sebelum tembak pemandu di lebuh raya sesak

Astro Awani
April 20, 2023 14:00 MYT
Sidang media pihak berkuasa berhubung insiden tembakan di Maine. -AP
BOWDOIN: Seorang lelaki ditahan selepas mengaku membunuh empat orang, termasuk ibu bapanya, sebelum menembak ke arah pemandu kenderaan di lebuh raya yang sibuk dalam kejadian pada Selasa.
Suspek, Joseph Eaton, 34, dikenal pasti sebagai bekas banduan baru sahaja dibebaskan pada 14 April lalu dari Pusat Koreksional Maine di Windham.
Joseph dipenjarakan atas satu kesalahan yang tidak dinyatakan selain didakwa dengan beberapa jenayah lain yang menghalangnya daripada memiliki pistol di Maine.
Insiden tembakan bermula di bandar kecil Bowdoin, di mana empat orang terbunuh pada Selasa.
Menurut polis, tiga mayat ditemui di dalam sebuah rumah manakala seorang lagi di dalam bangsal.
Mangsa di Bowdoin dikenal pasti sebagai ibu bapa Joseph Eaton, Cynthia Eaton, 62, dan David Eaton, 66, bersama rakan mereka, pemilik rumah Robert Eger, 72, dan Patricia Eger, 62.
Joseph kemudian melarikan diri dari rumah menuju ke sebuah lebuh raya lebih 32 kilometer dari Yarmouth, di mana tembakan dilepaskan ke arah kenderaan yang sedang bergerak, kata polis.
Tiga mangsa yang cedera adalah daripada sebuah keluarga yang semuanya berada dalam kereta yang sama.
Mangsa dikenal pasti sebagai Sean Halsey, 51; Justin Halsey, 29; dan Paige Halsey, 25, yang berada dalam keadaan kritikal.
Joseph ditemui di kawasan hutan tidak jauh dari kenderaan yang dipercayai miliknya, kata polis.
Suspek, ketika disoal siasat, memberitahu polis bahawa dia menembak ke arah kenderaan di lebuh raya kerana menyangka dia diekori penguat kuasa undang-undang.
Joseph akan didakwa di mahkamah pada Khamis selepas menjalani rawatan di Pusat Perubatan Maine.
#insiden tembakan #Joseph Eaton #bunuh ibu bapa #bekas banduan #Pusat Koreksional Maine
;