Bekas angkasawan NASA jadi wanita pertama sampai ke Challenger Deep

Agensi
Jun 9, 2020 20:30 MYT
Kathy Sullivan menjadi wanita pertama menyelam ke titik paling di dasar laut, dikenali sebagai Challenger Deep. - Twitter/@AstroKDS
BEKAS angkasawan dan ahli geologi NASA, Kathy Sullivan, menjadi wanita pertama menyelam ke titik paling dalam di dasar laut, dikenali sebagai Challenger Deep, yang terletak dalam Jurang Mariana di Lautan Pasifik.
Misi berkenaan memerlukan Sullivan menyelam sehingga 35,000 kaki di bawah permukaan laut.
Wanita berusia 68 tahun itu berjaya menghabiskan ekspedisi berkenaan menggunakan kenderaan submersible DSV Limiting Factor (LF).
LF, yang dibina oleh syarikat Triton Submarines yang berpangkalan di Florida, adalah kenderaan pertama dalam sejarah yang berulang kali berjaya sampai ke titik terdalam di lautan itu.
Pada kedalaman itu, penyelam perlu berhadapan dengan tekanan yang sangat besar, kegelapan yang melampau dan tahap suhu yang hampir mencapai beku, dan hanya hidupan mikroorganisma tertentu yang boleh hidup.
Misi terbabit selesai Ahad lalu dan Sullivan dan pasukannya akan kembali ke pelabuhan di Pulau Guam pada 15 Jun ini.
"Sebagai ahli oseanografi dan angkasawan, ini adalah hari yang luar biasa, sekali seumur hidup, dapat melihat keadaan di Challenger Deep dan kemudian membandingkannya dengan nota dengan rakan-rakan di ISS mengenai kapal angkasa lepas yang boleh digunakan semula," kata Sullivan yang menghabiskan masa lebih sejam di situ.
Pada 1984, Sullivan menjadi wanita pertama dari Amerika Syarikat yang berjalan di ruang angkasa lepas.
Dia kini menjadi individu kelapan yang berjaya sampai ke Challenger Deep, mengikuti jejak beberapa tokoh terkenal lain, antaranya Don Walsh dan Jacques Picard pada tahun 1960, dan juga pengarah filem Titanic, James Cameron pada tahun 2012.
#Amerika Syarikat #Challenger Deep #Kathy Sullivan #Mariana Trench #NASA #wanita
;