Bekas ahli parlimen, abang ditembak mati ketika siaran langsung di TV

Astro Awani
April 16, 2023 11:21 MYT
Atiq (kanan) dan abangnya Asyraf (kiri) sedang bercakap dengan beberapa wartawan sebelum ditembak di kepalanya dari jarak dekat. -Twitter/@AdityaRajKaul
UTTAR PRADESH: Seorang bekas ahli parlimen India yang disabitkan dengan kesalahan menculik telah ditembak mati bersama abangnya ketika siaran langsung di televisyen.
Atiq Ahmed, yang diiring polis, sedang bercakap dengan beberapa wartawan apabila ditembak di kepalanya dari jarak dekat.
Menurut laporan media tempatan, tiga suspek lelaki yang menyamar sebagai wartawan menyerah diri sejurus tembakan dilepaskan dan kini ditahan.
Seorang anggota polis dan seorang wartawan turut cedera di tempat kejadian.
Atiq sebelum ini mendakwa terdapat ancaman terhadap nyawanya sendiri daripada pihak polis.
Anak lelaki Atiq, Asad dan seorang lagi lelaki dikehendaki berhubung kes pembunuhan ditembak polis awal minggu ini dalam insiden tembak-menembak.
Video tular kejadian menunjukkan Atiq dan abangnya Ashraf bercakap kepada wartawan dalam perjalanan untuk pemeriksaan kesihatan di hospital berhampiran beberapa saat sebelum mereka berdua ditembak.
Dalam rakaman itu, Atiq ditanya sama ada dia menghadiri pengebumian anaknya, dan kata-kata terakhirnya: "Mereka tidak bawa kami, jadi kami tidak pergi."
Atiq, yang merupakan bekas ahli parlimen, dan abangnya berada dalam tahanan polis dan dibawa ke Prayagraj di Uttar Pradesh, di mana Atiq menghadapi tuduhan pembunuhan dan serangan.
Dia dipenjarakan pada 2019 selepas disabitkan kesalahan menculik.
Lebih 180 orang yang menghadapi pelbagai pertuduhan telah dibunuh oleh polis di Uttar Pradesh dalam tempoh enam tahun lalu.
Aktivis hak asasi manusia menuduh polis melakukan pembunuhan secara semberono, tuduhan yang dinafikan kerajaan negeri itu.
#Atiq Ahmed #ditembak mati #secara langsung di TV #Uttar Pradesh
;