Bekalan elektrik terputus, 165,000 penduduk Toronto terjejas banjir

Astro Awani
Julai 17, 2024 01:00 MYT
Keadaan di Lebuhraya Don Valley yang ditenggelami air susulan hujan lebat. - Foto REUTERS
TORONTO: Hujan lebat di Toronto, Kanada pada Selasa menyebabkan lebih 165,000 pengguna terputus bekalan elektrik.
Banjir juga menyebabkan beberapa kenderaan di bandar itu terkandas di jalan yang ditenggelami air berhampiran Jambatan Dundas.
Susulan insiden, perkhidmatan kecemasan turut dikerahkan bagi menyelamatkan orang ramai daripada kenderaan yang terkandas.
Pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran banjir dan menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu atau berjalan berhampiran kawasan yang ditenggelami air.
Dalam pada itu, agensi yang bertanggungjawab menyelaras dasar dan program alam sekitar, Environment Canada juga mengeluarkan amaran hujan untuk bandar itu pada pagi Selasa dengan risiko ribut petir berterusan pada sebelah petang.
Menurut agensi itu, hujan sehingga 110 milimeter dijangka melanda dengan kadar hujan mungkin berpotensi mencecah 40 milimeter sejam.
Pihak berkuasa pemuliharaan Toronto dan wilayah (TRCA) mengeluarkan amaran banjir pada petang Selasa, mengatakan bahawa jumlah hujan yang dijangkakan boleh mewujudkan "keadaan berbahaya" berhampiran badan air, termasuk tebing sungai yang licin dan keadaan air yang bergelora.
Bercakap pada petang Selasa, Datuk Bandar Olivia Chow berkata, bandar itu kini sedang melabur secara besar-besaran dalam kerja-kerja baik pulih agar kejadian seumpana tidak berulang pada masa hadapan.
Beliau juga turut menyarankan penduduk untuk memandu dengan berhati-hati di kawasan yang ditenggelami air dan menjauhkan diri dari kawasan seperti sungai dan pantai.
Tambahnya, bagaimanapun loji rawatan sisa air di bandar itu tidak terjejas.
#banjir #bekalan elektrik #hujan lebat #Sungai