Beijing diselubungi ribut pasir, kali kedua dalam tempoh dua minggu
Agensi
Mac 28, 2021 14:15 MYT
Mac 28, 2021 14:15 MYT
BEIJING: Penduduk di ibu negara China yang bangkit dari tidur pada pagi ini (Ahad) dikejutkan dengan persekitaran udara penuh dengan debu, yang membawa partikel berbahaya.
Reuters melaporkan, situasi di Beijing itu adalah berpunca daripada kejadian ribut pasir, yang terjadi buat kali kedua dalam tempoh dua minggu. Debu dan pasir itu adalah bawaan angin dari Mongolia dan barat laut China yang kini dilanda kemarau.
Jarak penglihatan di bandar raya itu berkurang dengan banyak, dengan kebanyakan puncak bangunan pencakar langit terlindung dalam kesan ribut pasir itu, manakala pejalan kaki terpaksa menutup mata mereka apabila angin terus bertiup kuat di jalanan.
Indeks kualiti udara Beijing sudah mencecah paras maksimum 500 pada pagi Ahad, dengan partikel PM10 yang berterbangan di udara melepasi takat 2,000 mikrogram per meter kubik di beberapa daerah.
Bacaan partikel yang lebih kecil, PM2.5, adalah di atas 300 mikrogram per meter kubik, lebih tinggi daripada standard yang ditetapkan China iaitu 35 mikrogram.
Partikel PM2.5 sangat berbahaya kerana ia sangat halus dan boleh memasuki saluran darah, sementara PM10 adalah partikel yang lebih besar dan masih boleh memasuki paru-paru.
Badan Meteorologi China telah mengeluarkan amaran kuning pada Jumaat, yang memberitahu tentang kedatangan ribut pasir dari Mongolia ke wilayah-wilayah utara China. Itu termasuk bahagian Mongolia Tengah, Shanxi, Liaoning dan Hebei, yang mengelilingi Beijing.
Aliran angin dari Mongolia yang lebih panas pada musim bunga ini, dan ditambah dengan faktor kekurangan hujan mencetuskan situasi ideal untuk ribut pasir.
Beijing bakal berdepan lebih banyak kejadian ribut pasir pada April ini berikutan ramalan cuaca yang buruk.