Beijing benarkan pengawal pantai tahan 'penceroboh' tanpa perbicaraan
Agensi
Julai 14, 2024 12:54 MYT
Julai 14, 2024 12:54 MYT
PENGAWAL pantai boleh menahan penceroboh tanpa perbicaraan, kata Beijing ketika aktivis berkumpul di Beting Scarborough di Laut China Selatan.
Memetik portal SCMP, persatuan baharu itu menetapkan suspek boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.
Walaupun undang-undang dan peraturan sedia ada memberikan kuasa kepada pengawal pantai untuk menahan suspek, ini adalah kali pertama peraturan tertentu telah menjelaskan prosedur penguatkuasaan undang-undang pasukan pengawal pantai untuk penahanan pentadbiran.
Undang-undang dan peraturan lain telah dikeluarkan untuk pengawal pantai memberi kuasa lebih asas undang-undang sejak ia dipindahkan dari pihak berkuasa maritim kepada polis bersenjata separa tentera pada tahun 2018.
Laporan itu menyebut, pengeluaran dokumen kawal selia terbaharu itu, yang berkuat kuasa Jun lepas, meningkatkan lagi ketegangan dengan Filipina yang sedang mempertahankan tuntutan mereka terhadap Beting Scarborough, yang juga dikenali sebagai Panatag Shoal.
Beijing dan Manila kedua-duanya mendakwa pantai yang dikuasai China – pernah menjadi tempat memancing biasa bagi China, Filipina dan Vietnam – dan terdapat konfrontasi berulang kali, kadang-kadang melibatkan pertempuran di antara kapal China dan Filipina.
Dokumen kawal selia itu memperincikan peraturan pengendalian kes pentadbiran dan termasuk kaitan kes melibatkan warga asing yang disyaki melanggar undang-undang sempadan China.
Menurut SCMP, penahanan boleh dikenakan kepada mereka yang disyaki melanggar peraturan pengurusan keluar masuk, termasuk membantu orang lain menyeberangi sempadan secara haram, mempunyai kediaman dan pekerjaan yang tidak sah di negara ini, dan kesalahan yang dianggap membahayakan keselamatan dan kepentingan negara China.
Peraturan itu antara lain memberi kuasa kepada pengawal pantai untuk melakukan penahanan sehingga 30 hari ke atas warga asing yang melanggar peraturan keluar masuk China.
Bagi kes-kes yang rumit, had masa boleh dilanjutkan sehingga 60 hari, setelah mendapat kelulusan daripada agensi pengawal pantai peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Biro pengawal pantai peringkat wilayah diberi kuasa untuk membuat kelulusan mereka sendiri untuk melanjutkan tempoh tahanan.
Kapal pengawal pantai China telah hadir sejak Gabungan Atin Ito aktivis dan nelayan Filipina tiba di pantai yang menjadi pertikaian itu pada Rabu.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan pengawal pantai China memantau kapal Filipina yang berkumpul secara haram di perairan berhampiran Pulau Huangyan dan menjalankan aktiviti yang tidak berkaitan dengan operasi penangkapan ikan biasa.
Susulan insiden itu, Kementerian Luar China memberi amaran terhadap pelanggaran Manila terhadap kedaulatan wilayah dan bidang kuasa China, dengan menyatakan bahawa China akan melindungi haknya dan mengambil tindakan balas yang perlu mengikut undang-undang.
Presiden China Xi Jinping tahun lalu menggesa pengawal pantai menguatkuasakan undang-undang China dan dengan tegas mempertahankan" kedaulatan wilayah dan hak maritimnya.
Semasa lawatan ke pejabat perintah pengawal pantai untuk Laut China Timur di Shanghai pada akhir November, Xi berkata pasukan itu mesti membanteras aktiviti jenayah di laut dan melindungi ekonomi maritim China.
Kenyataan Xi menyusuli beberapa pertelingkahan antara pengawal pantai China dan kapal-kapal dari negara-negara jiran berhubung perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Misi awam dari Filipina itu diadakan dua minggu selepas tiga kapal pengawal pantai China melepaskan tembakan meriam air ke arah dua kapal Filipina berhampiran Beting Scarborough pada 30 April lalu.
Pengawal pantai China berkata ia telah mengusir kapal Filipina kerana 'menceroboh' ke perairan itu, sementara rakan sejawatannya dari Filipina berkata kerosakan pada salah satu kapalnya adalah bukti baharu mengenai 'gangguan' Beijing.
Insiden itu bertepatan dengan latihan tentera laut bersama utama antara Manila dan Washington, digelar Balikatan, dan diikuti sidang kemuncak bersama pertama antara AS, Jepun dan Filipina di Washington awal bulan lepas.