Begini caranya operasi keluarkan mangsa di Gua Tham Luang
Agensi
Julai 11, 2018 10:31 MYT
Julai 11, 2018 10:31 MYT
Operasi mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang di Chiang Rai, Thailand berakhir pada Selasa selepas semua 13 mangsa berjaya dikeluarkan.
Kesemua mereka terperangkap lebih empat kilometer di dalam gua berkenaan, menjadikan misi menyelamatkan mangsa berdepan pelbagai cabaran.
Sebelum ini, Astro AWANI pernah berkongsikan gambaran situasi operasi menyelamat yang membabitkan beberapa kaedah yang banyak dibincangkan media seluruh dunia.
Biarpun ada bantuan teknologi moden cuba melengkapkan usaha menyelamatkan mangsa, tetapi akhirnya pihak berkuasa Thailand memilih untuk menggunakan kaedah paling asas sebagai yang paling berkesan untuk mengeluarkan semua mangsa.
Mangsa dibawa seorang demi seorang dengan bantuan dua penyelam profesional yang terdiri daripada pasukan penyelam Thai Navi SEAL serta penyelam antarabangsa.
Mangsa diberikan ubat penenang bagi memudahkan operasi mengeluarkan mereka.
Pasukan penyelamat dengan kekuatan 25 penyelam mengiringi mangsa dengan membawa tong oksigen sebagai sokongan serta dibantu tali kecemasan sebagai rujukan laluan keluar.
Seorang lagi pasukan keselamatan akan berada di belakang mangsa sebagai sokongan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
Proses ini ada risiko tersendiri tetapi ia pilihan terbaik berbanding beberapa cadangan lain yang pernah difikirkan sebelum ini.
Empat mangsa terakhir bersama jurulatih berjaya dikeluarkan lewat petang Selasa dan kini semua mangsa diberi rawatan di hospital.
Kesemua mereka dikuarantin sementara, diberi makanan lembut serta tidak dibenarkan untuk menonton televisyen.
Rawatan ini adalah sebahagian daripada proses pemulihan fizikal dan mental selepas lebih dua minggu terperangkap di gua berkenaan.
#AR Operasi Gua
#Astro
#Astro Awani
#budak gua
#Chiang Rai
#Cuba
#gua Tham Luang
#Hospital
#keselamatan
#mangsa
#Media
#operasi
#Operasi Menyelamat Thailand
#remaja
#Thailand
#Wild Boar Thailand