Beg tangan isteri PM Singapura abadi memori indah Masamoto dan isteri
Kohilah Sekaran
Oktober 3, 2016 17:12 MYT
Oktober 3, 2016 17:12 MYT
Beg tangan isteri Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Ho Ching sekali lagi menjadi tajuk perbualan masyarakat selepas satu nukilan puisi oleh beliau yang menceritakan kisah disebalik beg tangan yang digunakannya di sewaktu lawatan rasmi ke Jepun.
Beg tangan itu dibawanya ke Istana Imperial untuk satu majlis makan bersama Maharaja Jepun Akihito dan Maharani Michiko pada 27 September lalu.
Pada Ogos lalu, Ho Ching menjadi perbualan hangat selepas beliau membawa sebuah tas tangan berharga S$18.40 (RM44.60) ketika melawat Presiden Barack Obama dan isterinya di White House.
Menerusi laman Facebooknya, Ho Ching mengucapkan terima kasih kepada seorang lelaki yang menghadiahkan beg tangan tersebut kepadanya.
Beg tersebut dihadiahkan oleh seorang lelaki bernama Masamoto selepas membaca berita mengenai dompet berukiran dinosaur yang dibawanya pada Ogos lalu.
Difahamkan, beg tangan itu merupakan milik mendiang isteri Masamoto, Yoko yang meninggal dunia dua tahun lalu.
“Beg yang anggun ini, pernah bersama Yoko, bertemu dengan Maharaja Jepun, yang baik dan pengasih,” tulis Ho Ching.
“Bertahun-tahun lamanya ia tersimpan di dalam sebuah peti kayu yang dipenuhi memori indah yang lampau serta saat-saat bahagia bersama Masamoto.”
“Masamoto datang ke Singapura, membawa beg tangan Yoko sebagai hadiah. Saya ingin menghadiahkan beg ini untukmu, kata lelaki berkenaan,” sambung Ho Ching.
Tambah wanita pertama Singapura itu, beliau pada mulanya tidak pasti untuk menerima hadiah Masamoto kerana ia terlalu bernilai.
Selepas diyakini oleh rakannya, Ho Ching menerimanya dan membuat keputusan untuk membawa beg tangan itu ke semua acara bersama pasangan diraja Jepun.
“Damailah kau di sana, wahai Yoko, dan semoga sihat, Masamoto,” tulisnya.
“Akan kusimpan hadiah istimewa ini, hadiah persahabatan dan kasih sayang.”
Kredit gambar: Facebook Ho Ching