Bedah tanpa bius, azab berganda yang perlu ditanggung rakyat Gaza

Bernama
Disember 8, 2023 18:20 MYT
Seorang lelaki Palestin yang cedera dalam serangan di kem pelarian Khan Younis dibawa masuk ke Hospital Nasser, 21 November 2023. -Gambar fail/AP
GAZA: Krisis bekalan bahan perubataan yang dialami kebanyakan hospital di Gaza kini kian meruncing ekoran pengeboman dan kekejaman berterusan tentera penceroboh Israel sejak awal Oktober.
Lebih memilukan, pakar perubatan terpaksa melakukan pembedahan dan rawatan kecemasan tanpa ubat bius demi menyelamatkan nyawa mereka yang cedera parah di tengah-tengah kekurangan infrastruktur dan kakitangan perubatan, lapor Agensi Berita WAFA.
Pakar bius di Hospital Eropah di Gaza Nabil Al-Astal berkata sejak konflik bertambah tegang dan sebelum Hospital Al-Shifa digempur tentera Israel, para doktor di situ sudah terpaksa menjalankan pembedahan tanpa bius kerana bilangan mangsa yang cedera parah terlalu ramai dan ketiadaan ubat-ubatan.
"Rakan-rakan doktor saya di sana menjalankan banyak pembedahan tanpa menggunakan bius termasuklah pembedahan caesarean dan amputasi.
"Masalah bukan saja disebabkan terputus bekalan ubat, tapi juga kekurangan petugas perubatan yang apabila ramai kakitangan turut menjadi mangsa pembunuhan," katanya kepada WAFA.
Petugas dan Fasiliti Kesihatan Jadi Sasaran Serangan
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih 160 petugas penjagaan kesihatan telah terkorban ketika berkhidmat di Gaza sejak 7 Okt.
Bemula 7 Okt hingga 28 Nov, sebanyak 203 hospital diserang, bukan itu sahaja ambulans turut menjadi sasaran manakala bekalan perubatan disekat serta petugas kesihatan ditahan.
Kini hanya 18 dari 36 hospital di Semenanjung Gaza yang masih beroperasi dengan kapasiti terhad manakala ribuan penduduk Gaza terputus akses untuk mendapatkan rawatan susulan operasi serangan darat yang semakin hebat.
"Di sebalik semua cabaran dan halangan itu pasukan perubatan yang masih ada tetap berusaha sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik dengan menggunakan ubat alternatif dengan kesan hampir setara, tetapi tetap tidak dapat mengurangkan kesakitan kerana ia bukan penyelesaian ideal.
"Jadi, kebanyakan pembedahan tetap terpaksa dijalankan tanpa bius," kata Nabil.
Pembedahan Kompleks Tanpa Bius
Sementara itu, pakar bedah Abdul Aziz Adel menyifatkan pembedahan ke atas pesakit ketika dalam keadaan sedar tanpa bius merupakan sesuatu yang sangat mengerikan dan boleh memberi kesan negatif kepada sistem saraf badan.
"Tapi di Gaza, amputasi bukan saja melibatkan proses yang kompleks malah juga terpaksa dilakukan di tempat yang sangat serba kekurangan. Bayangkanlah azab yang perlu ditanggung oleh pesakit yang mengalami patah tulang yang sangat teruk?.
"Malah pada satu tahap doktor terpaksa melakukan pembedahan mengeluarkan organ dalaman yang sudah rosak tanpa sebarang bius dan pensterilan," katanya.
Beliau menjelaskan pembedahan kompleks yang melibatkan tulang patah atau hancur tidak mungkin dilakukan tanpa bius kerana semasa proses amputasi sejumlah besar lapisan kulit perlu dibuka dan dibelah satu persatu.
Setiap lapisan berkenaan pula mengandungi sel-sel saraf aktif yang akan menyebabkan kesakitan yang sukar untuk ditanggung jika tanpa bius.
"Kecederaan patah tulang sudah sangat menyakitkan ditambah pula terpaksa dibedah menggunakan alatan tajam tanpa pelali. Jika pembedahan ditangguh akan menambah kerumitan kepada doktor dan pesakit itu sendiri. Justeru amputasi segera menjadi satu-satunya penyelesaian demi kelangsungan hidup pesakit," katanya.
Kain Kasa dan Menghafaz Ayat Al-Quran Jadi Ubat Penahan Sakit
Jururawat di Hospital Nasser di bandar Khan Yunis, Ahmed Khaled, berkata: "Dalam keadaan serba kekurangan kami hanya mampu memberikan pesakit kain kasa untuk digigit itu pun jika ada.
"Walaupun ia tidak dapat mengurangkan kesakitan tapi hanya itu yang mampu kami lakukan," katanya.
Ahmed Khaled turut berkongsi detik paling tidak akan dilupakannya ketika merawat seorang lelaki warga emas yang mengalami kecederaan parah.
"Masa itu saya tak jumpa kain kasa dan ubat pelali. Tetapi kecederaannya mesti dijahit segera. Saya terpaksa teruskan rawatan sementara beliau membaca ayat-ayat al-Quran sehinggalah selesai rawatan," katanya.
Krisis Kesihatan Semakin Meruncing
Menurut WHO lagi sejak permulaan perang, terdapat 120,000 jangkitan pernafasan akut, hampir 26,000 orang dijangkiti kudis dan kutu, 86,000 kes cirit-birit, termasuk 44,000 dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun.
Sementara itu, kira-kira 1,150 kes jaundis serta cacar air, ruam kulit dan meningitis juga direkodkan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Dis 2 melaporkan penularan wabak hepatitis dalam kalangan penduduk Palestin di pusat perlindungan di Gaza yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Kementerian Kesihatan Palestin pada Jumaat menyatakan seramai 16,456 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 42,000 cedera dalam serangan udara dan darat Israel sejak 7 Okt.
-- BERNAMA
#Gaza #bedah tanpa bius #tahan sakit tanpa bius #Palestin
;