Beckham 'kecut perut' berdepan lebih 10,000 nyamuk
Astro Awani
Februari 7, 2018 18:08 MYT
Februari 7, 2018 18:08 MYT
DIKERUMUNI media dan peminat itu biasa bagi sosok bernama David Beckham. Namun ikon bola sepak ini merasai pengalaman baharu berdepan ribuan ekor nyamuk.
Itu yang dilakukan Beckham, 42, demi menjayakan video kempen anti malaria. Video bertajuk Malaria Must Die itu menerima sentuhan pengarah Gladiator, Ridley Scott.
Video berkenaan memberi tumpuan kepada Beckham yang diserang lebih 10,000 nyamuk ketika dia ditempatkan di sebuah kotak kaca kecil. Dia turut menerima beberapa gigitan daripada serangga itu.
Demi menyedarkan orang ramai mengenai bahayanya malaria, Beckham tidak mengambil sebarang bayaran pun untuk menjayakan video ini.
Meskipun malaria boleh dibendung, kurangnya kesedaran menyaksikan ribuan nyawa jadi korban saban tahun oleh penyakit tertua di dunia ini.
Pesan Beckham kepada pemimpin dunia, ambillah langkah sewajarnya bagi elak ramai lagi menjadi korban malaria.