Beberapa siri gempa bumi gegarkan Banda Aceh dan Bali

Astro Awani
Jun 4, 2020 16:21 MYT
Menurut BMKG, gempa terkuat dengan bacaan magnitud 4.8 skala Richter itu berlaku pada jam 10.30 malam.
BEBERAPA siri gempa bumi melanda kawasan di Indonesia pada Rabu, lapor Meteorology, Climatology and Geophysics Agency (BMKG).
Menurut agensi itu, gempa dengan kekuatan 4.8 skala Richter melanda lima kilometer di tenggara ibu kota Banda Aceh pada pukul 5.31 pagi (waktu tempatan).
Beberapa gegaran turut berlaku selepas itu termasuk gempa dengan kekuatan 3.8 skala Richter di barat laut pulau Sabang pada jam 7.58 pagi.
Agensi itu turut melaporkan berlakunya gempa dengan kekuatan 6.0 skala Richter melanda Barat Laut Pulau Saringi pada malam Rabu kira-kira jam 11.54 malam.
Gegaran tersebut dilaporkan terasa di beberapa bahagian di Bali termasuk Kuta dan Denpasar. Begitupun, tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan dalam skala besar.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan di mana gegaran tersebut turut dirasakan di beberapa bahagian Barat Nusa Tenggara termasuk Mataram, Lombok Barat dan Sumbawa Barat.
Sementara itu, sekurang-kurangnya enam bangunan di Pulau Weh, sebuah pulau di utara Banda Aceh rosak akibat gempa yang menggegarkan wilayah itu.
Media tempatan melaporkan bahawa di antara enam struktur yang rosak, sekurang-kurangnya tiga mengalami kerosakan besar dengan sebahagian bangunan runtuh.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, sebahagian besar penduduk di kawasan ini telah meninggalkan bangunan mereka, kerana bimbang gempa berlaku lagi.
Menurut BMKG, gempa terkuat dengan bacaan magnitud 4.8 skala Richter itu berlaku pada jam 10.30 malam. Terdahulu, kawasan sama merekodkan beberapa siri gempa dengan kekuatan 4.0 dan 4.2 skala Richter.
Selepas gempa itu berlaku, BKMG turut mengesan beberapa lagi gempa susulan lebih lemah melanda kawasan sama.
#Bali #Banda Aceh #BMKG #gempa bumi #Indonesia #Lombok #Mataram #Media #Pulau Saringi #Richter
;