Beberapa roket menggegarkan utara Israel

Astro Awani
Ogos 7, 2024 01:10 MYT
Sebuah kilang yang musnah akibat serangan roket dari Lubnan. - Foto REUTERS
KIRYAT SHMONA: Beberapa roket yang didakwa berasal dari Lubnan menggegarkan sebuah bandar di utara Israel, Kiryat Shmona pada Selasa.
Menurut rejim Israel, beberapa roket bagaimanapun berjaya dipintas manakala selebihnya jatuh di kawasan lapang sehingga menyebabkan kebakaran di beberapa kawasan.
Susulan serangan, sistem siren dibunyikan bagi memaklumkan kepada penduduk agar mencari tempat perlindungan.
Dalam serangan balas, pihak Israel mendakwa tentera udaranya telah menyerang beberapa fasiliti milik Hezbollah di selatan Lubnan.
Kumpulan bersenjata Lubnan Hezbollah dalam pada itu mengaku bertanggungjawab atas satu siri serangan lain menggunakan dron yang menyasarkan Israel utara.
Kumpulan itu memberi amaran bahawa serangan itu bukanlah semata-mata disebabkan pembunuhan Israel terhadap komander tertinggi Hezbollah minggu lalu.
Susulan serangan, kebimbangan terhadap perang besar-besaran di timur tengah semakin memuncak.
Ini berikutan ikrar Hezbollah untuk membalas dendam atas pembunuhan komander Fuad Shukr dan janji Iran untuk bertindak balas terhadap pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran minggu lalu.
#roket #Israel #Hezbollah #sistem siren