Beberapa pelajar cedera dalam kebakaran sebuah lagi sekolah di Kenya

Bernama
September 8, 2024 10:30 MYT
Anggota pasukan keselamatan membantu menyelamatkan beberapa mangsa iaitu pelajar di sebuah sekolah perempuan di bandar Isiolo, tengah Kenya yang terbakar pada Sabtu. - Gambar Reuters
NAIROBI: Beberapa pelajar cedera dalam insiden kebakaran di sebuah sekolah perempuan di bandar Isiolo, tengah Kenya pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pihak berkuasa tempatan yang mengesahkan kejadian itu kepada media berkata operasi menyelamat sedang dijalankan.
Jurucakap polis Resla Onyango mengesahkan bahawa beberapa pelajar cedera dan asrama sekolah itu musnah dijilat api.
"Kebakaran telah berjaya dikawal, dan pakar berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan serta prosedur lain," kata Onyango.
Sementara itu, Palang Merah Kenya berkata, pasukan kecemasan mereka berada di lokasi untuk membantu usaha menyelamat dan memulihkan keadaan.
Insiden itu berlaku sehari selepas kebakaran tragis di Hillside Private Mixed Primary School di Nyeri yang meragut nyawa 21 kanak-kanak berusia antara 9 hingga 13 tahun pada Jumaat. - BERNAMA
#kebakaran #pelajar sekolah cedera #sekolah Kenya #sekolah perempuan
;