Beberapa mangsa nahas udara di Sungai Potomac dikenal pasti, kotak hitam ditemukan
Bernama
Januari 31, 2025 12:40 MYT
Januari 31, 2025 12:40 MYT
WASHINGTON: Identiti beberapa penumpang dan anak kapal dalam penerbangan American Airlines dan helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam perlanggaran di udara telah disahkan manakala sebuah kotak hitam telah ditemukan, lapor United Press International (UPI).
Ringkasan AI
- Identiti beberapa penumpang dan anak kapal dalam penerbangan American Airlines dan helikopter tentera AS yang terlibat dalam perlanggaran di udara telah disahkan, manakala sebuah kotak hitam telah ditemukan.
- Lebih 40 daripada 67 mayat mangsa nahas ditemukan dari Sungai Potomac pada lewat petang Khamis.
- Kesemua 67 orang di dalamnya terkorban, termasuk beberapa pemain luncur ais AS yang telah mengambil bahagian dalam kem pembangunan Luncur Ais AS di Wichita, Kansas.
Lebih 40 daripada 67 mayat mangsa nahas pada malam Rabu, yang berlaku pada 9 malam waktu tempatan (EST) berhampiran Reagan International Airport, ditemukan dari Sungai Potomac pada lewat petang Khamis.
Sekurang-kurangnya satu daripada kotak hitam pesawat itu juga telah ditemukan, menurut saluran berita utama termasuk CNN, ABC News dan Newsweek.
Kesemua 67 orang di dalamnya terkorban, termasuk beberapa pemain luncur ais AS yang telah mengambil bahagian dalam kem pembangunan Luncur Ais AS di Wichita, Kansas.
Pesawat itu membawa 64 penumpang dan anak kapal ketika ia berlepas dari Wichita, manakala helikopter Tentera AS membawa tiga anggota dalam penerbangan latihan.
Mayat ketiga-tiga tentera itu ditemukan pada Khamis, tetapi identiti mereka belum didedahkan kerana proses pemakluman kepada keluarga masih dijalankan, media tempatan WJLA melaporkan di platform X.
Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth berkata dalam satu kenyataan video bahawa helikopter tentera itu sedang menjalankan penerbangan latihan tahunan bagi menilai kecekapan juruterbang.
"Ia adalah kru yang berpengalaman melakukan penilaian tahunan penerbangan malam. Mereka dilengkapi dengan cermin mata penglihatan malam," katanya.
"Kami menjangkakan siasatan akan menentukan dengan pantas sama ada pesawat itu berada dalam koridor penerbangan yang ditetapkan dan pada ketinggian yang betul pada masa kejadian."
Hegseth menambah bahawa proses pemakluman waris bagi ketiga-tiga anggota tentera itu sedang dijalankan.
"Ia adalah tragedi, kehilangan nyawa yang amat besar -- 64 nyawa dalam pesawat penumpang dan tiga anggota tentera dalam dalam Black Hawk itu. Mereka dalam doa kami. Kami sedang giat menyiasat bagi mengenal pasti apa yang berlaku dan puncanya," kata beliau.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dalam satu taklimat di White House.
"Saya bercakap kepada anda pagi ini dalam saat penuh duka bagi negara kita. Malangnya, tiada yang terselamat. Ini merupakan malam yang suram dan menyedihkan dalam sejarah ibu negara kita -- satu tragedi yang amat dahsyat. Sebagai sebuah negara, kita berkabung atas kehilangan setiap nyawa yang tiba-tiba diragut daripada kita."
Beliau turut mengakui impak mendalam tragedi itu dengan berkata: "Hati kita hancur. Dalam saat seperti ini, perbezaan antara rakyat Amerika hilang sama sekali berbanding ikatan kasih sayang dan kesetiaan yang menyatukan kita. Kita adalah satu keluarga dan hari ini kita semua berduka, mencari jawapan."
Trump mengesahkan bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dan tentera AS akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai nahas tersebut.
-- BERNAMA