Beberapa bandar Itali siap sedia hadapi kemuncak gelombang haba

Bernama
Julai 20, 2024 09:09 MYT
Itali memasuki musim cuti paling sibuk apabila jutaan orang, termasuk pelancong asing dan penduduk, berhasrat untuk menjalankan pelbagai aktiviti luar. - Reuters
ROM: Beberapa bandar di Itali diletakkan di bawah amaran cuaca panas tertinggi pada Jumaat, ketika gelombang haba yang menyebabkan suhu melampau dijangka mencapai kemuncaknya hujung minggu ini.
Amaran merah -- yang tertinggi dalam sistem empat peringkat negara itu -- akan berkuat kuasa selama tiga hari di 17 daripada 27 bandar yang termasuk dalam sistem pemantauan nasional yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan.
Selain itu, lima bandar lain diletakkan dalam amaran jingga iaitu tahap kedua tertinggi, lapor Xinhua.
Turin, Bologna, Verona dan Trieste menjadi antara bandar yang paling teruk terjejas oleh gelombang haba di utara manakala Florence, Rom dan Perugia di tengah Itali serta Bari dan Palermo di selatan juga mengalami suhu yang sangat tinggi.
Di beberapa wilayah, terutama di kawasan metropolitan, suhu dijangka melebihi 40 darjah Celsius dalam tempoh 48 jam akan datang, sebelum disusuli oleh gelombang udara sejuk yang secara beransur-ansur tiba di beberapa kawasan ini pada petang Ahad, menurut ramalan cuaca oleh Tentera Udara Itali dan perkhidmatan cuaca dalam talian ilMeteo.it.
Dalam sistem Itali, amaran merah menandakan risiko kesihatan yang serius untuk semua rakyat.
Amaran Kementerian Kesihatan itu menjadi tajuk utama dalam media Itali, memandangkan negara berkenaan memasuki musim cuti paling sibuk apabila jutaan orang -- termasuk pelancong asing dan penduduk -- berhasrat untuk menjalankan pelbagai aktiviti luar.
Dikaitkan dengan amaran jingga dan merah, peningkatan risiko kebakaran hutan juga dilaporkan di beberapa kawasan, termasuk ibu kota wilayah Sicily, Palermo di mana pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan amaran risiko kebakaran hutan tertinggi untuk hujung minggu ini.
Tuscany juga kekal dalam keadaan berjaga-jaga selepas sekurang-kurangnya 13 kebakaran hutan dilaporkan dan dipadamkan di seluruh wilayah itu pada Khamis, menurut pihak berkuasa tempatan.
-- BERNAMA
#Itali #gelombang haba #amaran merah #risiko kesihatan #cuaca panas