Bebas karbon: Negara kaya perlu main peranan - Bill Gates

Rahimah Abdullah
Januari 20, 2022 13:34 MYT
Bill Gates berkata, negara-negara kaya perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan penghasilan produk teknologi hijau di peringkat global.
KUALA LUMPUR : Negara-negara kaya perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan penghasilan produk teknologi hijau di peringkat global.
Pengasas Breakthrough Energy Foundation, Bill Gates berkata, ia termasuk membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mewujudkan polisi-polisi tertentu dalam pelaksanaan cukai karbon.
Menurut Gates, melalui kerjasama dan usaha ditunjukkan negara kaya berkenaan, ia akan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam kalangan negara-negara berpendapatan pertengahan.
"Negara-negara kaya perlu memainkan peranan mereka dalam membiayai penyelidikan dan pembangunan dan mempunyai polisi-polisi tertentu dalam isu melibatkan salah guna cukai karbon bagi memacu permintaan terhadap produk bersih ini," katanya semasa diskusi secara maya Davos Agenda: Accelerating Scaling Up Climate Innovation pada Khamis.
Malah ketika ini katanya, sudah banyak syarikat yang berminat dengan pelaburan melibatkan teknologi hijau dan penghasilan produk bebas karbon walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk kos operasi.
"Dengan melakukan langkah agresif ini, adakah kos ekonomi akan berjaya diturunkan atau sebaliknya, atau kita boleh memastikan negara berpendapatan pertengahan akan melakukan perubahan dalam industri mereka.
"Jumlah syarikat yang sedang berusaha ke arah ini adalah menarik walaupun sebahagian mereka gagal. Namun, kita masih memerlukan ramai lagi untuk terus melakukannya. Itulah apa yang kita perlu lakukan sekarang," ujarnya lagi.
Selain itu, Gates turut melihat kepentingan dalam kebergantungan kepada tenaga boleh diperbaharu terutama apabila berlaku bencana alam dan sebagainya.
#Bill Gates #pelaburan #ekonomi #Davos
;