Bebas dari penjara, Ahok tukar nama dan bakal kahwin
Agensi
Januari 24, 2019 18:59 MYT
Januari 24, 2019 18:59 MYT
Selepas hampir dua tahun dipenjara akibat menghina Islam, bekas Gabenor Jakarta, Basuki “Ahok” Tjahaja Purnama melangkah bebas pada Khamis menuju perjalana baharu dalam kehidupannya iaitu menjawat kerjaya baharu selain berkemungkinan bakal menamatkan zaman dudanya.
Selain fokus berkenaan, seiring pembebasan ini juga, lelaki berusia 52 tahun itu enggan lagi dikenali sebagai Ahok.
Sebaliknya, beliau mahu menjenamakan semula personalitinya dengan panggilan BTP (singkatan bagi Basuki Tjahaja Purnama).
Sebelum ini, media tempatan melaporkan, BTP merancang untuk menjadi perunding pada kerajaan tempatan serta bakal menikahi kekasihnya gadis beragama Islam berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Puput Nastiti Devi.
Devi difahamkan merupakan pengawal peribadi bekas isteri BTP ketika lelaki itu menjawat jawatan Gabenor Jakarta.
BTP bercerai dengan Veronica Tan selepas 20 tahun berkahwin dan perpisahan mereka ada kaitan dengan isu peribadi.
Hasil perkahwinan itu, BTP dan Veronica dikurniakan tiga cahaya mata.
“BTP mempunyai banyak rancangan selepas pembebasanya. Dia akan mengahwini kekasihnya pada 15 Februari ini," kata ahli politik Prasetyo Edi Marsudi yang juga sahabat karib BTP kepada media sebelum ini.
Kata Prasetyo, BTP juga dilaporkan menerima undangan untuk berceramah di New Zealand, Jepun serta Eropah selain akan muncul dalam saluran YouTube atas nama BTP untuk 'menjana pendapatan'.
Berita pernikahan BTP bagaimanapun tidak dapat disahkan sehingga ke hari ini, namun jurucakap polis Indonesia memberitahu, Devi juga masih belum mengemukakan permohonan untuk berkahwin seperti yang dituntut dalam kerjaya pasukan seragam khususnya bagi pegawai sepertinya.
Kakak BTP, Fifi Lety Tjahaja Purnama juga memberitahu, keluarga mereka juga tidak dimaklumkan mengenai rancangan pernikahan itu.
Fifi juga di laman Instagramnya menafikan, BTP sudah memeluk agama Islam untuk menikahi kekasihnya.
Awal pagi Khamis, sekumpulan penyokong BTP turut berhimpun di luar penjara sejak awal pagi sebagai tanda sokongan dan meraikan pembebasan beliau.
BTP dihukum penjara selepas dijatuhkan hukuman penjara pada 9 Mei 2017 selepas didapati menghina Islam ketika kempen pilihan raya Gabenor pada bulan September 2016.
BTP yang berketurunan Cina dan beragama Kristian didapati bersalah apabila komennya yang mengkritik lawan tentang penggunaan al-Quran dalam kempen politik berkenaan dianggap menghina Islam sehingga mencetuskan situasi tegang di negara ini.