'The Beatles' mengaku tidak bersalah atas 8 tuduhan
Agensi
Oktober 10, 2020 08:29 MYT
Oktober 10, 2020 08:29 MYT
VIRGINIA: Dua suspek warga Britain yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Daish mengaku tidak bersalah atas lapan tuduhan di mahkamah di Virginia, Amerika Syarikat (AS).
Tertuduh adalah dua daripada empat individu kumpulan militan Daish yang digelar sebagai 'The Beatles'.
El Shafee Elsheikh dan Alexanda Kotey hadir secara maya bagi mendengar dakwaan ke atas mereka.
Salah satu tuduhan adalah kesalahan membunuh beberapa tebusan di Syria, termasuk seorang wartawan warga AS, James Foley.
Pendakwaraya AS, Zachary Terwilliger berkata: “Ketika proses dakwaan, mereka diwakili oleh peguam. Kedua-dua defendan pilih supaya tidak dibacakan dakwaan, serta mengaku tidak bersalah dan memohon untuk perbicaraan secara juri.”
Pendakwaan adalah hasil usaha pihak berkuasa AS sejak beberapa tahun lalu untuk menegakkan keadilan buat mangsa-mangsa yang terkorban akibat keganasan mereka di Syria.
Kumpulan militan 'The Beatles' terkenal dengan beberapa video yang dimuat naik dalam talian untuk tujuan propaganda dan menunjukkan aktiviti keganasan, termasuk mendera dan memancung kepala mangsa.
Perbicaraan dijangka bermula 15 Januari 2021.
#The Beatles
#Daesh
#daish
#ISIS
#bunuh
#wartawan
#James Foley
#Amerika Syarikat
#militan
#Syria
#Britain
#mahkamah