BBC umum tamatkan perkhidmatan 450 kakitangan
Agensi
Januari 29, 2020 00:41 MYT
Januari 29, 2020 00:41 MYT
Perbadanan Penyiaran British (BBC) mengumumkan akan memberhentikan 450 kakitangannya melibatkan operasi berita dan radio.
Memetik laporan portal BBC News, perbadanan itu memakumkan pembuangan pekerja itu adalah sebahagian daripada sasaran penjimatan £80 juta (RM425 juta) menjelang 2022.
Antara operasi yang bakal terkesan ialah siaran ‘Newsnight’, ‘Radio 5’ dan ‘World Update’.
BBC turut memaklumkan, langkah itu adalah sebahagian daripada proses pendigitalannya.
“Kita perlu bentuk semula BBC News untuk tempoh lima ke 10 tahun akan datang untuk membolehkan penjimatan dilakukan.
"Peruntukan kita terlalu banyak menguruskan operasi penyiaran tradisional dan tidak banyak untuk digital,” kata Pengarah Berita BBC News Fran Unsworth.
BCC News kini mempunyai 6,000 pekerja, termasuk 1,700 di luar UK. Perbelanjaannya akan berkurangan kepada £480 juta selepas proses penjimatan.
Sebelum ini BBC mengumumkan pembatalan program Victoria Derbyshire yang disiarkan di saluran BBC Two.
BBC merupakan syarikat penyiaran milik kerajaan Britain.
Pada 2016, ia memaklumkan perlu melakukan penjimatan £800 juta untuk kekal beroperasi pada 2020,
daripada jumlah itu £80 juta adalah penjimatan dari BBC News.
Bagaimanapun BBC News gagal mencapai sasaran penjimatan terbabit.