BBC mohon maaf tindakan wartawan tanya soalan 'kurang sopan' kepada kapten bola sepak wanita Maghribi

Agensi
Julai 25, 2023 08:00 MYT
Ghizlane Chebbak ditanya mengenai kecenderungan seksual pemain bola sepak wanita Maghribi yang dianggap oleh BBC sebagai soalan 'kurang sopan' oleh wartawan badan penyiaran antarabangsa itu. - Gambar REUTERS
PERBADANAN Penyiaran British (BBC) memohon maaf berhubung soalan ‘kurang sopan’ yang diajukan oleh seorang wartawannya kepada ketua pasukan bola sepak kebangsaan wanita Maghribi.
Dalam satu sidang media sebelum perlawanan pembuka Piala Dunia Wanita Maghribi menentang Jerman, seorang wartawan dari organisasi berita antarabangsa itu bertanya kepada Ghizlane Chebbak: "Adakah menjalin hubungan sesama jenis (gay) sesuatu yang dibenarkan di Morocco? Apakah terdapat pemain yang mempunyai kecenderungan hubungan sesama jenis dalam pasukan anda dan bagaimana kehidupan mereka di Morocco?”
Sebaik soalan itu selesai ditanya, penyelaras sidang media berkenaan segera mencelah dengan berkata: “Minta maaf, soalan ini berkisar politik, jadi kita hanya akan menerima soalan-soalan yang berkaitan dengan bola sepak sahaja.”
Wartawan tersebut dalam reaksi spontannya pula membalas: “Tidak… soalan ini tidak berkisar politik. Ia mengenai kemanusiaan, ia tidak ada kaitan dengan politik. Tolong benarkan dia menjawab soalan itu.”
Jurucakap BBC memberitahu CNN: “Kami sedia maklum soalan itu kurang sopan. Kami tidak mempunyai sebarang niat untuk menyebabkan kemudaratan atau kebimbangan.”
Sejurus soalan berkenaan ditanya, wartawan yang menghadiri sidang media berkenaan dibenarkan mengemukakan satu lagi soalan sebelum sesi itu ditutup.
Berdasarkan maklumat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa berkaitan hak manusia, Human Rights Watch: "Tindakan 'keanehan seksual' sesama jenis merupakan jenayah di Maghribi. Pasal 489 dalam Kod Jenayah jelas menyebut hukuman ke atas hubungan sesama jenis boleh dihukum penjara hingga tiga tahun dan denda sehingga 1,000 dirham (AS$91)."
Wartawan dari portal berita sukan The Athletic yang menghadiri sidang media berkenaan berkata: “Beberapa wartawan Maghribi jelas sangat terkejut dengan pertanyaan itu.”
Begitu juga dengan Shireen Ahmed iaitu wartawan CBC Sports yang berada di sidang media menulis sikap wartawan tersebut "benar-benar tidak tepat."
“Bertanyakan soalan mengenai rakan pasukan dan sama ada mereka gay dan bagaimana kecenderungan itu mempengaruhi mereka, sedangkan kamu hal itu tidak diizinkan, adalah sesuatu yang aneh dan tidak tepat.
“Ketua pasukan tidak akan sesekali berkongsi maklumat peribadi pemain-pemainnya atau memberi sebarang komen mengenai polisi kerana tindakan sedemikian hanya akan memberikan kemudaratan buat mereka,” kata Ahmed. - Agensi
#BBC mohon maaf #wartawan BBC #soalan kurang sopan #kapten bola sepak wanita Maghribi
;