Bazar Ramadan Kampong Gelam kembali di Singapura, sambut kemeriahan Ramadan
Agensi
Mac 26, 2023 12:40 MYT
Mac 26, 2023 12:40 MYT
KAMPONG Gelam di Singapura kembali 'hidup' dengan deretan trak makanan berwarna-warni, gerai jualan tempatan dan antarabangsa, program hiburan serta banyak lagi aktiviti menarik.
Dianjurkan oleh One Kampong Gelam dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura, acara tahun ini yang bertemakan Raikan Cahaya Ramadan, mula beroperasi pada 15 Mac lalu. Ia akan berlangsung selama 33 hari, sehingga 16 April.
Sepanjang tempoh ini, pelbagai tawaran menarik membabitkan gerai makanan dan minuman di sepanjang Jalan Baghdad, Jalan Kandahar dan Sultan Gate.
Terdapat sehingga 86 buah gerai yang menyajikan hidangan kegemaran seperti nasi lemak, burger, biryani, pasta fusion dan snek bergoreng.
Semua gerai makanan yang mengambil bahagian disahkan halal dan dimiliki orang Islam.
Selain makanan dan minuman, pengunjung juga boleh meneroka pelbagai gerai runcit yang menjual seni dan kraf, pakaian Melayu tradisional, aksesori dan cenderamata, serta hasil karya seni lain.
Terdapat juga persembahan lampu dan pameran cahaya menggunakan layang-layang LED dikawal dron dan pemasangan lampu mikro pada hari Jumaat dan hujung minggu.
Bazar ini juga menawarkan pelbagai aktiviti bagi meraikan semangat kemasyarakatan sepanjang bulan Ramadan.
Antaranya ialah acara berbuka puasa beramai-ramai pada 1 April serta kutipan amal bagi mengumpul barangan pre-loved sebelum sambutan Hari Raya Puasa yang dijangka jatuh pada 22 Apr.