Bayrou galas tugas berat satukan Perancis
Astro Awani
Disember 15, 2024 09:00 MYT
Disember 15, 2024 09:00 MYT
PARIS: Perdana Menteri baharu, Francois Bayrou berdepan tugas berat untuk menyatukan Ahli Parlimen yang berpecah dan membawa Perancis keluar daripada krisis politik yang membelenggu negara itu selama berbulan-bulan.
Ketua Parti Modem berusia 73 tahun itu dilantik sembilan hari selepas Parlimen menggulingkan Michel Barnier dalam undi tidak percaya berikutan cubaannya untuk meluluskan Belanjawan 2025 yang merangkumi kenaikan cukai sebanyak 60 bilion euro.
Bayrou, yang merupakan sekutu berhaluan tengah, adalah Perdana Menteri keenam di bawah mandat Macron dan yang keempat untuk tahun ini.
Barnier paling singkat berkhidmat selepas hanya sempat bertahan selama tiga bulan.
Sebelum dilantik, Macron bertemu Bayrou di Istana Elysee dan keputusan muktamad dibuat beberapa jam kemudian.
Sumber memaklumkan, Macron pada awalnya lebih cenderung untuk memilih Menteri Pertahanannya yang setia, Sebastien Lecornu, tetapi berubah fikiran apabila Bayrou mengancam untuk menarik balik sokongan partinya.
“Saya tahu cabarannya adalah besar. Saya sedar sepenuhnya tentang beban sebesar ‘Himalaya’ yang menanti.
"Yang pertama, Perancis menghadapi defisit belanjawan yang melambung, ditambah pula masalah ketidakstabilan politik, begitu juga perpecahan dalam masyarakat," katanya.
Susulan pelantikannya itu, Bayrou perlu segera membentuk kerajaan dan berusaha meluluskan belanjawan dalam Parlimen yang terbahagi dengan ketara, selepas Macron berdepan penentangan kuat dari blok sayap kiri dan kanan.
Politik Perancis menemui jalan buntu sejak Macron mengadakan Pilihan Raya Parlimen mengejut musim panas lalu dengan tinjauan pendapat ternaharu oleh BFMTV menunjukkan 61 peratus pengundi di Perancis bimbang dengan situasi kerajaan negara itu.