Bayi sembilan bulan hisap rokok

Sinar Harian
Februari 24, 2018 10:17 MYT
Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia (KPAI) menyelar tindakan suami isteri itu walaupun niat mereka hanya bergurau.
Media sosial di Indonesia baru-baru ini digemparkan dengan gambar bayi sembilan bulan sedang menghisap rokok.
Foto dengan kapsyen 'Hembuskanlah nak selagi bapa belum melarang' memaparkan bayi itu diberikan rokok yang menyala dimuat naik pemilik akaun Facebook, Renigetd Agu Mrajalela turut menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Ibu kepada bayi itu dikenali sebagai Ummu, 18, dipercayai mengambil gambar perbuatan tidak bertanggungjawab suaminya, Muzammil, 36, ke atas anak mereka.
Susulan insiden itu, pasangan suami isteri yang merupakan penduduk Desa Tlomar, Kecamatan Tanah Merah, Bangkalan Madura telah ditahan dan disoal siasat pihak berkuasa selain turut diberi amaran keras serta diminta tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut.
"Mereka mendakwa hanya mahu bergurau. Tindakan memuat naik ke media sosial sebenarnya telah memberi pelbagai persepsi masyarakat," kata Pesuruhjaya Polis di Jawa Timur, Frans Barung Mangera.
Pasangan tersebut mengaku memberi rokok kepada bayi mereka pada 17 Februari lalu dan turut memuat naik gambar itu di Facebook.
Sementara itu, Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia (KPAI) menyelar tindakan suami isteri itu walaupun niat mereka hanya bergurau.
"Ibu bapa seharusnya mengajar anak mereka perkara yang baik kerana golongan itu juga perlu dihormati," kata Pesuruhjaya Didikan KPAI, Rita Pranawati.
#bayi #Gambar #Indonesia #media sosial #Muzammil #rokok #Surabaya #Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia
;