Bayi satu tahun jadi mangsa tersalah tembak di New York
Astro Awani
September 3, 2013 11:31 MYT
September 3, 2013 11:31 MYT
SEORANG bayi berusia satu tahun mati tertembak di kepala di Brooklyn, New York pada malam Ahad.
Menurut saksi kejadian, bayi lelaki berkenaan, Antiq Hennis terkena tembakan ketika berada di dalam kereta sorong bayi bersama ayahnya.
Menurut polis, sasaran sebenar penembak ialah bapa bayi malang berkenaan. Namun si bapa tidak mengalami sebarang luka dalam kejadian itu .
Ketika kejadian, Hennis dan bapanya sedang berjalan-jalan di sekitar kejiranan rumah mereka.
Tiba-tiba berlaku tembakan di mana peluru menembusi bahagian kepala bayi berkenaan.
Saksi mengaku terdengar empat das tembakan, di mana salah satu terkena bayi malang itu.
Tembakan lain kemudiannya menghujani sekitar lokasi kejadian di Britol Street dekat Lavonia Avenue New York.
Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sampai di hospital akibat luka tembakan di bahagian muka sebelah kiri.
Setakat ini tiada sebarang tangkapan di buat dan polis New York sedang giat memburu penembak berkenaan.
Kejadian bayi ditembak di dalam kereta sorong sudah banyak kali berlaku di Amerika Syarikat.
Jumaat minggu lalu, seorang remaja 18 tahun didakwa atas tuduhan membunuh bayi 13 bulan dalam satu kejadian rompakan di Georgia.