Bayi pramatang 1.2kg selamat harungi gempa tanpa bantuan inkubator
Mariah Ahmad
Mei 13, 2015 13:43 MYT
Mei 13, 2015 13:43 MYT
Ketiadaan bekalan elektrik yang terjejas ekoran gempa di Nepal pada 25 April lalu menyebabkan keadaan begitu kritikal kepada pesakit di hospital, terutama bayi yang dilahirkan dalam keadaan pramatang yang sangat memerlukan sokongan mesin inkubator.
Namun begitu, biarpun tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mesin tersebut, seorang bayi pramatang yang lahir sehari sebelum kejadian gempa bumi selamat mengharungi bencana yang meragut lebih 9,000 nyawa itu.
Wartawan Astro AWANI bersama tiga doktor Malaysia daripada Misi Bantuan Perubatan Global Expedition Club (GEC) sempat menjenguk keadaan bayi ini pada 10 Mei lalu di Hospital Patan.
Kami juga sempat bertemu dengan ibu saudara kepada bayi ini, Sapana Basyal, 35, yang juga insan yang berusaha menyelamatkan bayi seberat 1.2kg ini ketika gempa.
"Dia dilahirkan sehari sebelum berlakunya gempa bumi dan diletakkan dalam inkubator kerana keadaannya sangat lemah. Pada hari berikutnya, gempa bumi berlaku. Jadi semua orang yang berada di hospital ketika itu berlari keluar dengan segera.
"Saya kemudiannya membalut bayi itu dan memeluknya dengan erat. Saya terpaksa buat begitu kerana keadaan sangat terdesak dan tiada jururawat berada di situ," ujar Sapana.
Sambil mendakap dan memeluk erat anak buahnya itu, Sapana terus keluar berlari dari hospital.
Apabila keadaan kembali reda dan bekalan elektrik kembali pulih, Sapana masuk semula ke hospital untuk meletakkan anak buahnya yang dinamakan Joy ke dalam inkubator.
"Selepas gempa bumi berlaku pada 25 April itu, banyak gegaran berlaku dan setiap kali ia berlaku, kami perlu mengeluarkan bayi itu daripada inkubator dan membawanya keluar.
"Kami hanya berharap dan berdoa kecil ini mampu meneruskan hidupnya. Syukur kepada Tuhan, dia selamat mengharunginya dan semakin bertambah sihat sekarang ini," ujar Sapana dengan riak wajah penuh kelegaan apabila anak buahnya itu selamat.
Seorang doktor Malaysia yang melihat keadaan bayi ini, Dr Lim Lim Kah Yeuan, 42, yang juga pakar perbidanan berkata bayi ini berada dalam keadaan stabil buat masa ini.
"Ibunya (Amrita Basyal) mengalami penyakit darah tinggi semasa mengandung. Itu boleh mengakibatkan dia kena sawan. Dia ditahan selama empat minggu di hospital kerana kandungannya.
"Selepas itu, dia terpaksa melahirkan anaknya dengan melakukan pembedahan Caesarean. Anaknya kemudian diletakkan di dalam inkubator kerana beratnya hanya 1.2kg.
"Jadi ketika kejadian gempa bumi berlaku, kesemua inkubator rosak dan mereka terpaksa membalut bayi dan membawa keluar dari hospital kerana ketika itu orang ramai kelam kabut berlari menyelamatkan diri," jelas Dr Lim.
Selepas lebih seminggu kejadian gempa berlaku, Dr Lim berkata keadaan bayi ini boleh dianggap stabil dan berat badannya kini naik sehingga 1.4kg.
"Cuma masalah sekarang adalah bayi ini ada sedikit demam walaupun berat badan dah naik. 1.4kg pun boleh dikatakan sebagai sangat kecil; selalunya berat bayi 2.0kg ke atas baru boleh dikira stabil," ujar Dr Lim selepas memeriksa keadaan anak kecil ini.
Sapana Basyal cerita detik ketika dia cuba menyelamatkan anak buahnya yang dilahirkan secara pramatang sehari sebelum berlakunya gempa bumi di Nepal.