Bayi 'Nevermind' sekali lagi kemuka saman terhadap Nirvana

Astro Awani
Januari 14, 2022 09:19 MYT
Spencer Elden mendakwa gambar yang digunakan oleh Nirvana semasa dirinya seorang bayi menyalahi undang-undang dan tanpa mendapat persetujuan. -Gambar fail/Instagram spencerelden
LOS ANGELES: Lelaki yang menghiasi gambar kulit album "Nevermind" daripada kumpulan terkenal Nirvana pada 1991 ketika bayi sekali lagi mengemukakan saman terhadap kugiran tersebut.
Spencer Elden mendakwa gambar yang digunakan oleh Nirvana semasa dirinya seorang bayi menyalahi undang-undang dan tanpa mendapat persetujuan.
Sebelum ini seorang hakim mahkamah Amerika Syarikat telah menggugurkan kes terhadap Nirvana yang difailkan Elden.
BACA: Bayi pada gambar album Nirvana tuntut ganti rugi RM630,000 dari setiap ahli kumpulan
Dalam saman terbaharu Elden yang difailkan di Los Angeles pada Rabu, dia mempertahankan tuntutannya atas kesalahan eksploitasi kanak-kanak kerana memperlihatkan gambarnya dalam keadaan bogel.
Katanya, gambar itu menyamai pornografi kanak-kanak yang membolehkan kumpulan tersebut mengaut keuntungan sebanyak puluhan juta dolar.
Untuk itu, dia menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya AS$150,000 (RM630,000) daripada setiap 10 defendan yang turut melibatkan anggota kugiran yang masih hidup Dave Grohl dan Krist Novoselic, bekas isteri Kurt Cobain, Courtney Love dan jurugambar Kirk Weddle.
Album "Nevermind" memaparkan lagu paling popular Nirvana "Smells Like Teen Spirit" yang hasil jualannya melebihi AS$30 di seluruh dunia.
Grohl kini mengetuai kumpulan Foo Fighters manakala Cobain meninggal dunia pada 1994.
#Spencer Elden #Nirvana #Nevermind #Kurt Cobain
;