Bayi lima bulan terselamat bangunan runtuh di Jordan
Astro Awani
September 15, 2022 08:00 MYT
September 15, 2022 08:00 MYT
PASUKAN penyelamat mengeluarkan bayi perempuan berusia lima bulan dari runtuhan bangunan di Amman, pada Rabu.
Menurut pegawai hospital, bayi berkenaan kini berada dalam keadaan stabil.
Media kerajaan melaporkan, setakat ini sekurang-kurangnya sembilan terbunuh dan yang lain masih hilang dalam kejadian bangunan runtuh di ibu negara Jordan itu pada Selasa.
Berdasarkan laporan pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 25 orang berada dalam bangunan empat tingkat itu semasa ia runtuh.
Punca runtuhan belum dapat dikenal pasti.
Ketua Pertahanan Awam, Hatem Jaber memberitahu usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan dan disertai lebih 350 anggota serta anjing pengesan dan dron.
Perdana Menteri Bisher al Khasawned telah mengarahkan siasatan terperinci susulan kejadian itu.
Ketika ini, polis mengenal pasti salah seorang pemilik bangunan, seorang kontraktor penyelenggaraan dan seorang juruteknik penyelenggaraan sebagai suspek.
Bangunan itu terletak di Jabal Al-Weibdeh, sebuah daerah lama di Amman yang popular dalam kalangan elit dan ekspatriat.