Bayi lahir jam 9:11 pagi, 11 Sept, dengan berat 9.11 paun
Afiq Ariffin
September 15, 2019 11:31 MYT
September 15, 2019 11:31 MYT
PERCAYA atau tidak, sudah 18 tahun serangan pengganas pada 11 September 2001 di beberapa lokasi di Amerika Syarikat berlaku.
Semestinya seluruh warga dunia mengingati tragedi yang juga disebut 9/11 itu, terutamanya kalangan warga AS.
Namun ada satu lagi kejutan 9/11, kali ini pada Rabu lepas.
Pada 11 Sept lalu, media sosial digemparkan dengan berita yang dikatakan “sangat jarang” berlaku.
Doktor di sebuah hospital di Memphis berjaya menyambut kelahiran bayi perempuan pada tanggal 11 September tepat pada jam 9:11 pagi.
Lebih mengejutkan, setelah bayi itu dibersih dan ditimbang, beratnya juga menunjukkan beratnya ialah 9.11 paun (kira-kira 4.10 kg).
Bayi yang diberi nama Christina Brown itu dilahir menggunakan kaedah pembedahan caesarean.
Bapanya, Justin Brown memberitahu dia terkejut apabila mengetahui berat anaknya turut menunjukkan angka keramat itu.
Hospital Methodist Le Bonheur Germantown mengesahkan insiden kebetulan yang luar biasa itu dan turut berkongsi cerita mengenainya di media sosial.
Menurut Penyelaras Penjagaan Ibu di hospital itu, Rachel Laughlin, dia tidak pernah melihat kejadian seperti itu sepanjang 38 tahun bekerja sebagai petugas hospital dan percaya bayi perempuan itu cukup istimewa.
#Amerika Syarikat
#bayi 911
#caesarean
#Christina Brown
#Justin Brown
#Methodist Le Bonheur Germantown
#Rachel Laughlin