Bayi 'kejutkan' ibu koma selama 23 hari

Sinar Harian
Oktober 17, 2018 09:04 MYT
Perkara pertama yang dia ingat sejurus sedar dari koma adalah Victor berada dalam dakapannya.
Seorang ibu di Brazil mengejutkan para doktor selepas dia sedar dari koma selama 23 hari apabila bayi lelakinya diletakkan di atas dadanya.
Amanda da Silva, 28, dari Fortaleza yang diserang sawan ketika usia kandungannya memasuki 37 minggu yang didakwa berpunca daripada pergaduhan dengan suaminya.
Untuk menyelamatkan kedua-duanya, doktor terpaksa memberi sedatif kepadanya dan mengeluarkan bayinya, Victor menerusi pembedahan pada Februari lalu.
Komplikasi yang berlaku selepas prosedur itu menyebabkan da Silva diletakkan dalam keadaan koma untuk menstabilkannya manakala anaknya yang lahir seberat 2.1 kilogram ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Selepas beberapa minggu, seorang jururawat meletakkan Victor buat pertama kali di atas dada da Silva yang menyebabkan jantungnya berdegup laju dan air matanya mengalir di pipi.
"Dia menunjukkan perkembangan positif selepas pertama kali memegang anaknya. Kami tidak ada jawapan saintifik untuk menjelaskan apa yang berlaku. Tetapi, kita tidak boleh menafikan kepentingan sentuhan antara ibu dan bayi," kata jururawat, Fabíola Sá.
Jelas da Silva, perkara pertama yang dia ingat sejurus sedar dari koma adalah Victor berada dalam dakapannya.
#Amanda da Silva #bayi #Brazil #kandungan #koma
;