Bayi 'hamil' kembar sendiri selamat dibedah

Agensi
Mac 5, 2018 08:58 MYT
Pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan parasit yang tumbuh dalam tubuh bayi tersebut. Foto SWNS.
Seorang bayi yang lahir dalam keadaan ‘hamil’ dengan janin yang membesar di dalam tubuhnya telah berjaya dibedah oleh para doktor di Gujarat, India.
Ibu bapa kepada Prinsa Rathava, kini berusia tujuh bulan, menyedari anak mereka mempunyai ketumbuhan itu apabila mengesan struktur seperti benjolan di perutnya yang membuatkannya menjadi semakin buncit.
Manisha dan Motisingh Rathava kemudiannya membawa anak mereka ke hospital di mana satu pembedahan telah dilakukan untuk mengelurkan janin yang cacat itu pada 19 Februari lalu.
Keadaan yang dinamakan ‘foetus in foetu’ ini sangat jarang berlaku dan hanya 200 kes pernah dilaporkan di seluruh dunia.
Menurut doktor yang membuat pembedahan mengeluarkan janin seberat 130 gram di Hospital Civil, Gujarat itu, selepas operasi tersebut, Prinsa akan membesar dengan sihat.
Janin itu membesar di antara usus dan buah pinggang, terjadi akibat pemisahan kembar tidak lengkap dan gagal berkembang, sebaliknya menjadi parasit dalam badan kembar yang sihat.
Ketua Jabatan Pembedahan Pediatrik, Dr Rakesh Joshi berkata: “Dalam kes ini, janin yang tidak berkembang itu mempunyai kolum ruas tulang belakang yang normal, tisu otak, kepala, tunas anggota badan dan ketulan kecil yang membentuk punggung.
Katanya, ketulan yang dikesan oleh ibu bapa bayi itu ketika dia berusia lima bulan membesar pada skala yang cepat dan mereka kemudiannya membawa dia untuk pemeriksaan doktor di Baroda.
“Prinsa masih di hospital dan kini sedang dalam proses penyembuhan. Dia akan dibenarkan keluar dalam sehari atau dua lagi.
“Dia tidak akan mengalami sebarang komplikasi berkaitan selepas ini dan akan membesar dengan normal.
“Bagaimapun, pembedahan yang dibuat memang sukar kerana janin pra-matang itu berada betul-betul di belakang usus dan di antara kedua-dua buah pinggangnya," kata Dr Rakesh.
Pasukan yang membedah Prinsa dilaporkan terdiri daripada enam orang, termasuk tiga pakar anestetik kanan.
Mereka juga turut membuat rumusan bahawa ibu Prinsa, yang mengandung buat pertama kali, tidak pernah melakukan ultrasound sepanjang kehamilannya.
#abnormal #bayi #foetus in foetu #hamil #India #kehamilan #kembar #perubatan #Prinsa Rathava
;