Bayi enam bulan terselamat selepas 24 jam terperangkap dalam runtuhan bangunan

Agensi
Mac 28, 2021 06:11 MYT
Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan masih bernyawa selepas lebih 24 jam terperangkap di bawah runtuhan bangunan 10 tingkat di daerah Gesr al-Suez, di timur Kaherah. -AP
KAHERAH: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan masih bernyawa selepas lebih 24 jam terperangkap di bawah runtuhan bangunan 10 tingkat di daerah Gesr al-Suez, di timur Kaherah.
Bayi tersebut kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk dirawat.
Menurut agensi perlindungan sivil, bayi itu berada dalam keadaan stabil.
Operasi mencari dan menyelamat kini diteruskan bagi mencari kakak bayi itu yang dilaporkan hilang.
Kedua-dua ibu dan bapa bayi itu bagaimanapun ditemukan meninggal dunia.
AP melaporkan jumlah korban runtuhan bangunan kediaman itu setakat ini ialah 25 orang.
Angka kecederaan tidak dinyatakan.
Setakat ini, punca kejadian masih belum diketahui.
Gebenor Kaherah, Khaled Abdel Aal yang melawat lokasi kejadian memberitahu sebuah pasukan jurutera ditubuhkan untuk memeriksa struktur bangunan berhampiran lokasi kejadian.
Runtuhan bangunan menjadi perkara biasa di Mesir disebabkan pembinaan haram dan kelemahan peraturan di sana.
Kejadian di Gesr Suez berlaku beberapa jam selepas tragedi kereta api yang menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang maut.
#Mesir #runtuhan #bayi terselamat #kecederaan #kematian #maut #terperangkap #Dilaporkan hilang
;