Bayi diselamatkan dari runtuhan gempa bumi Jepun
Agensi
April 15, 2016 18:24 MYT
April 15, 2016 18:24 MYT
Pasukan anggota mencari dan menyelamat pada Jumaat berjaya membawa keluar seorang bayi perempuan yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah rumah, berikutan bencana gempa melanda selatan Jepun pada Khamis hingga mengorbankan sembilan orang.
Sebuah rakaman video daripada Agensi Polis Nasional menunjukkan seorang bayi dengan baju tidur merah jambu dibungkus dengan selimut dan dibawa keluar dari tapak runtuhan dengan berhati-hati oleh anggota penyelamat.
Bayi berusia lapan bulan yang ditemui di kawasan kediaman di bandar Mashiki, Kumamoto itu diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Ibu bayi itu, bersama-sama dengan datuk, nenek serta abangnya sedang berada di ruang tamu dan dapur rumah berkenaan sementara dia sedang tidur disebuah bilik di tingkat atas, sewaktu gempa menggegarkan pulau Kyushu.
Ahli keluarga yang lain cuba menyelamatkan bayi itu tetapi mereka terpaksa lari keluar dari rumah berkenaan sewaktu rumah tersebut mula meruntuh.
Mashiki, sebuah bandar dengan populasi 35,000 orang terletak berdekatan dengan pusat gempa.