Bayi 'dipotong' keluar daripada mayat ibu meninggal dunia

Agensi
Jun 16, 2019 09:18 MYT
SEORANG bayi yang dipotong keluar daripada rahim ibunya yang maut akibat dibunuh disahkan meninggal dunia selepas dua bulan bertarung nyawa di Chicago, Amerika Syarikat. - Gambar Hiasan
Seorang bayi yang ‘dipotong’ keluar daripada rahim ibunya yang maut akibat dibunuh disahkan meninggal dunia selepas dua bulan bertarung nyawa di hospital akibat kegagalan fungsi otak di Chicago, Amerika Syarikat pada Jumaat.
Marlen Ochoa-Lopez, 19, dibunuh pada 23 April lalu oleh seorang wanita dan anaknya yang menyamar sebagai pembekal barangan bayi di Facebook dengan menyasarkan kumpulan ibu-ibu mengandung.
Menurut polis, Clarisa Figueroa, 46, dan anaknya, Desiree, 24, bertindak mencekik mangsa yang pada ketika itu hamil sembilan bulan sebelum mengeluarkan bayi berkenaan dengan memotongnya terus daripada rahim remaja berkenaan.
Figueroa kemudiannya terkejut apabila bayi itu mengalami sesak nafas sebelum menghubungi pihak hospital dan mendakwa ‘anaknya’ mengalami kesukaran bernafas.
Bayi itu dilaporkan berdepan masalah kegagalan fungsi otak dan hanya menggunakan mesin hayat untuk terus hidup.
Dalam pada itu, menurut polis, mereka menemui mayat Lopez yang disembunyikan di belakang tong sampah di belakang kediaman Figueroa selepas mangsa dilaporkan hilang sekitar tiga minggu.
Selain dua wanita, seorang lagi individu turut dikenalpasti terlibat dalam pembunuhan tersebut iaitu Piotr Bobak, 40, yang merupakan kekasih Figueroa.
#Amerika Syarikat #bayi #maut #meninggal dunia
;