Bayi dilarikan monyet sudahnya ditemui mati dalam perigi

Agensi
April 1, 2018 07:52 MYT
Bapa kepada Ramakrushna Nayak jelas kelihatan dalam keadaan dukacita apabila meniarap di atas jalan saat menerima berita anaknya ditemui meninggal dunia. - Foto: sambadepaper.com
Hati seorang ayah mana yang tidak meronta apabila mengetahui anaknya telah pergi meninggalkannya untuk selamanya.
Ini yang terjadi di kawasan perkampungan apabila mayat seorang bayi lelaki berusia 16 hari dijumpai di dalam perigi selepas dilaporkan hilang dilarikan seekor monyet di kawasan perkampungan Odisha Talabasta, India pada Ahad.
Mayat bayi malang itu ditemui dalam keadaan kembung dalam perigi sedalam lima meter, dipercayai ditinggalkan sejak 24 jam yang lalu.
Bapa kepada Ramakrushna Nayak jelas kelihatan dalam keadaan dukacita apabila meniarap di atas jalan saat menerima berita anaknya ditemui meninggal dunia.
BACA: Monyet larikan bayi 16 hari, operasi SAR besar-besaran dilancar
Menurut pegawai polis Banki, Biswaranjan Sahoo, bayi tersebut berkemungkinan di campak ke dalam perigi sejurus selepas dilarikan monyet tersebut.
“Ini merupakan kes pertama sebegini yang dilaporkan. Walau bagaimanapun, mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk tujuan post-mortem,” katanya seperti yang dilaporkan Hindustan Times.
Pada Sabtu, Ramakrushna Nayak sedang nyenyak tidur di dalam kelambu bersebelahan ibunya di kediamannya sebelum disambar monyet terbabit.
Ibu bayi itu berkata dia sendiri nampak bayinya dibawa lari sebelum menjerit meminta pertolongan dan kemudiannya membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Susulan itu anggota Jabatan Perhutanan dan polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran (SAR) bagi mengesan bayi itu.
Seramai 30 anggota Jabatan Perhutanan telah membuat pencarian di segenap kawasan hutan berhampiran dengan dibantu penduduk kampung.
#bayi #hilang #India #lari #meninggal dunia #monyet
;