Bayi berwajah dua di Batam
Sinar Harian
Julai 25, 2018 06:26 MYT
Julai 25, 2018 06:26 MYT
Penduduk di Kepulauan Riau baru-baru ini digemparkan dengan kelahiran seorang bayi lelaki berwajah dua di Batam.
Bayi istimewa diberi nama Gilang Andika itu adalah cahaya mata kepada pasangan Mustafa (32) dan Erlinasari (30).
Gilang dilahirkan secara caesarean di Hospital Camatha Sahidya Muka Kuning pada 7 Mei lalu.
Menurut Mustafa, anaknya memiliki dua wajah, dua otak dan berkongsi satu tengkorak serta satu badan.
Biarpun dilahirkan tidak sempurna, Mustafa dan isterinya tetap menganggap Gilang sebagai pasangan kembar.
Ekoran kondisi yang tidak normal itu, Gilang terpaksa menggunakan alat bantuan untuk menyusu.
Sementara itu, Mustafa mengakui kecewa dengan pasukan doktor yang menyambut kelahiran bayinya kerana merahsiakan keadaan fizikal sebenar Gilang.
“Selepas selesai pembedahan, doktor kebingungan bagaimana untuk menyampaikan berita kelahiran Gilang. Mereka merahsiakan perkara ini selama seminggu daripada pengetahuan isteri saya.
“Apa pun, selepas mengetahui perkara sebenar, kami tetap reda dan menyayangi Gilang sama seperti anak-anak kami yang lain,” ujarnya.
Difahamkan, Gilang masih memerlukan pemantauan rapi kerana terdapat cecair pada bahagian belakang kepalanya.
Mustafa turut berharap, pemerintah daerah dan pihak berwajib dapat menyegerakan pembedahan mengeluarkan cecair berkenaan agar ia tidak mengancam nyawa anak ketiganya itu. - Tribunnews