Bayi bertali pusat dicampak dari tingkat tiga
Sinar Harian
Oktober 2, 2018 04:38 MYT
Oktober 2, 2018 04:38 MYT
Seorang bayi perempuan ditemui masih hidup meskipun dicampak dari tingkat tiga sebuah bangunan dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan orang ramai di Jawa Tengah, pada Selasa.
Bayi malang itu ditemui seorang penjaga parkir kira-kira 12.30 tengah hari (waktu tempatan), di belakang bangunan sebuah pusat membeli belah di Kota Magelang.
"Pada mulanya saya menyangka bunyi dentuman itu disebabkan buah sukun kerana di sebelah kawasan parkir ini terdapat pokok sukun.
"Tetapi bila diperiksa, ada seorang bayi terlentang di atas tanah," kata Romadon.
Sementara itu, Ketua Polis Magelang Tengah, Asisten Komisioner R Sukendro memaklumkan bahawa bayi tersebut telah dihantar ke hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Bayi itu selamat namun mengalami kecederaan di pipi, tangan, punggung dan dada," katanya.
Susulan kejadian itu, Sukendro berkata, pihaknya telah menahan seorang wanita berusia 24 tahun yang bekerja sebagai promoter untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 77 Kanun Keseksaan kerana membuang kanak-kanak atau bayi yang masih hidup. - Detik News