Bayi berat hampir sama dengan epal dibenarkan keluar hospital

Sinar Harian
Ogos 12, 2021 09:54 MYT
Kwek Yu Xuan (bayi) akhirnya dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Nasional Singapura baru-baru ini setelah dilahirkan pada 9 Jun tahun lalu. - Foto NUS/Sinar Harian
SINGAPURA: Bayi tidak cukup bulan ketika dilahirkan pada 9 Jun 2020 dan beratnya hampir menyamai sebiji epal akhirnya dibenarkan keluar dari sebuah hospital di Singapura baru-baru ini.
Ketika dilahirkan di Hospital Universiti Nasional Singapura (NUS), bayi itu, Kwek Yu Xuan seberat 212 gram dan hanya 24 sentimeter panjang, menurut akhbar The Straits Times.
Bayi perempuan itu dilahirkan ketika berada dalam kandungan ketika berumur enam bulan.
Dia dipercayai sebagai bayi paling kecil di dunia yang masih hidup.
Menurut Pendaftaran Bayi Paling Kecil Universiti Iowa, Amerika Syarikat (AS), seorang bayi perempuan di AS memegang rekod sebagai yang terkecil di dunia apabila beratnya hanya 245 gram pada tahun 2018.
Dalam pada itu, Yu Xuan terpaksa berada di hospital selama 13 bulan untuk menjalani rawatan dan terpaksa bergantung dengan ventilator untuk bernafas kerana organnya tidak berfungsi sepenuhnya.
Namun, apabila bayi itu dibenarkan keluar dari hospital, beratnya kini sudah mencecah 6.3 kilogram, lapor akhbar tersebut.
Ibu Yu Xuan melahirkannya dengan kaedah pembedahan tiga bulan lebih awal ekoran masalah pra-eklampsia iaitu masalah yang dihadapinya ketika hamil.
Keluarga bayi itu dapat membayar kosnya di hospital menerusi kempen yang berjaya mengumpulkan wang sebanyak S$366,884 (RM1.14 juta).
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#bayi #epal #pramatang #Hospital #Singapura #Kwek Yu Xuan #Hospital Universiti Nasional Singapura
;