Bayi 12 bulan maut kepanasan ditinggalkan dalam kereta

Agensi
Mac 1, 2018 18:50 MYT
Kawasan kejadian yang disiasat pihak polis Miami berikutan laporan bayi lemas di dalam kereta. - Foto 7 News Miami
Bayi berusia 12 bulan didapati maut selepas ditinggalkan ibunya di dalam kereta berhampiran sebuah pusat beli-belah.
Menurut pihak polis Miami-Dade, mereka mendapat panggilan kecemasan pada jam 12.52 tengah hari yang menyatakan seorang bayi ditinggalkan kepanasan dalam sebuah kereta.
Ibu bayi itu yang bekerja di sebuah salon kecantikan di pusat beli-belah berkenaan dikatakan meletak kereta di kawasan tersebut jam 8.30 pagi, lapor 7 News Miami.
Beberapa jam kemudian, saksi mendakwa melihat ibu bayi itu keluar menuju ke kereta dan terkejut mendapati bayi lelakinya tertinggal di dalam kenderaan tersebut serta memerlukan bantuan perubatan.
Saksi turut mendakwa bahawa ibu bayi malang itu beranggapan telah menghantar anaknya ke pusat penjagaan tetapi bayi berkenaan tertinggal.
Pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dan membawa bayi lelaki itu ke Hospital Kendall Region dan disahkan meninggal dunia.
Bayi malang itu dipercayai meninggal dunia akibat peningkatan suhu dalam kenderaan yang didakwa mencecah ke paras 37 darjah celcius.
#bayi lelaki maut #tertinggal dalam kereta
;