Bayi 1 tahun nyaris jatuh tangga, mujur diselamatkan kucing kesayangan

Agensi
November 13, 2019 01:10 MYT
Seekor kucing Siam menjadi hero selepas menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia setahun sebelum terjatuh dari tangga.
Seekor kucing Siam menjadi hero selepas menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia setahun yang nyaris terjatuh dari tangga dalam kejadian di Bogota, Columbia baru-baru ini.
Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) yang dirakam di dalam rumah berkenaan, kucing bernama Gatubela itu melompat ke arah Samuel Leon yang sedang merangkak menuju ke tangga.
Ketika Samuel semakin menghampiri tangga, Gatubela difahamkan memaut bahagian belakang Samuel dan menghalangnya daripada mara sebelum kanak-kanak itu duduk dan berpatah balik.
Gatubela dilaporkan terus mengawasi Samuel selepas insiden berkenaan.
Dalam pada itu, ayah kanak-kanak itu, Jesid Leon berkata Gatubela dibawa ke rumahnya semasa berusia sebulan dan disebabkan itu ia amat akrab dengan Samuel.
“Gatubela tua dua bulan daripada anak saya," ujar Leon.
Gatubela merupakan nama salah satu karakter dalam DC Comics, Catwoman.
Sementara itu, ibu Samuel, Diana Lorena Alvarez melihat rakaman CCTV untuk mengetahui bagaimana Samuel keluar dari biliknya.
"Semasa saya balik kerja, Samuel masih tidur dan saya mengalihkanya ke dalam bilik.
"Jika tidak ada kucing itu, mungkin dia sudah terjatuh.
"Setelah melihat rakaman tersebut, saya merasa terkejut dan sangat beruntung," terangnya.
#CCTV #Diana Lorena Alvarez #Gatubela #Kanak-kanak #kucing Siam #nayi hampir jatuh tangga #Samuel