Bayar RM125 untuk data 4GB? Pengguna Internet di negara ini lama 'menderita'

Agensi
Jun 12, 2019 18:50 MYT
Bayangkan satu kehidupan pada kurun ke-21 yang langsung tidak disokong teknologi Internet. - Reuters
Terlalu mahal, terlalu perlahan dan tapisan melampau oleh pihak kerajaan!
Itulah ‘penderitaan’ yang dihadapi oleh pengguna Internet di negara acuan Komunis, Cuba. Oleh kerana rasa tidak puas hati, mereka melepaskan marah itu menerusi sebuah kempen di Twitter.
"Kami lapar! Lapar informasi! Kami ingin melayari maklumat dalam talian, dahagakan ilmu dan kebebasan intelektual,” kata seorang pengguna.
"Dalam kurun ke-21 ini, sangat mustahil jika Internet itu suatu kemewahan,” ujar seorang pengguna media sosial lain yang disertai hashtag #BajenLosPreciosDeInternet yang bermaksud ‘Kurangkan Harga Internet’.
Ada pula pihak yang menuduh syarikat telekomunikasi milik kerajaan, Etecsa, tidak serius dalam penyediaan jaringan dan sekadar mahu mengintip maklumat rakyat Cuba.
"Kuasa membeli dan gaji minimum rakyat Cuba adalah antara yang terendah di benua Amerika, namun akses kepada Internet tidak pula murah,” ujar pengendali blog teknologi Yucabyte.org, Norges Rodriguez.
Di negara itu, pakej untuk peranti mudah alih adalah sekitar AS$7 (RM29) untuk 600 megabait hinggalah kepada AS$30 (RM125) untuk data sebanyak 4 gigabait.
Kadar harga itu jauh daripada kemampuan majoriti rakyat Cuba yang hidup dengan gaji sekitar AS$30 sebulan, yang ditawarkan oleh pekerjaan sektor swasta.
Daripada populasi 11.2 juta di negara itu, hanya 79,000 isi rumah berdaftar untuk perkhidmatan internet.
"Jika anda hendak menyambungkan akses Internet di rumah selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, anda perlu menyediakan sejumlah AS$800 (RM3,320) sebulan.
"Tidak seperti di banyak negara lain di seluruh dunia, di sini tiada kadar rata,” ujarnya.
Rodriguez menambah, kerajaan Havana juga mengharamkan banyak laman web berita yang mengkritik kerajaan.
Sekatan Amerika Syarikat (AS) ke ats negara itu juga bermakna perkhidmatan daripada Google, Apple dan Amazon tidak boleh diakses dari alamat IP Cuba.
Kerajaan Cuba baru-baru ini memberi kelulusan untuk pengimportan router bagi membolehkan pengguna mendapatkan jaringan WiFi persendirian, namun ia masih menggunakan sistem pelayan Etecsa.
Bagaimanapun para pengkritik melihat ia masih terlalu mahal, dengan caj perkhidmatan sedolar bagi setiap jam.
Sebelum teknologi 3G diperkenalkan di Cuba pada Disember lalu, Internet hanya boleh diakses menerusi hotspot WiFi awam, yang memerlukan bayaran mengikut jam.
Kepayahan tersebut turut disuarakan oleh Larry Press, seorang profesor sitem maklumat di University of Texas, yang juga menulis blog tentang Internet di Cuba.
"Ketika Internet kali pertama dilancarkan, Cuba adalah salah sebuah negara yang boleh membangun di Amerika Latin dan Caribbean, kerana pembinaan infrastruktur oleh Soviet Union.
"Pada awalnya, jaringan agak bagus, malah ada sambungan kepada Internet yang disubsidi oleh AS," ujarnya.
Menurut Press, kemajuan dalam teknologi maklumat dikhuatiri akan menjejaskan pentadbiran politik di negara itu, dan pihak pemerintah tidak mahu ia berlaku.
"Kini, semua itu sudah tidak diberi perhatian lagi," ujarnya kecewa.
#Cuba #Internet #kerajaan cuba #pengguna internet #perkhidmatan #teknologi
;