Batu zamrud terbesar dunia umpama kryptonite

Sinar Harian
November 8, 2022 08:00 MYT
Batu zamrud berwarna hijau dianggap oleh ramai pengguna Facebook umpama kryptonite dalam filem Superman. - Foto Guinness World Records
LUSAKA: Penemuan batu permata zamrud di Zambia yang belum dipotong dan terbesar di dunia mempunyai berat 7,525 karat atau 1.505 kilogram (kg), lapor Guinness World Records baru-baru ini.
Batu itu pertama kali ditemui oleh dua ahli geologi, Manas Banerjee dan Richard Kapeta serta pasukan mereka pada Julai 2021 di lombong Kagem yang terletak di Wilayah Copperbelt, Zambia.
Kagem ialah sebuah lombong zamrud yang dimiliki oleh Gemfields dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perindustrian kerajaan Zambia.
Permata gergasi itu dinamakan Chipembele yang bermaksud 'badak' dalam dialek asli tempatan orang Bemba di Zambia.
Menurut Guinness World Records, Chipembele terbentuk dalam keadaan yang hampir sempurna.
Bagaimanapun, di laman Facebook yang turut berkongsi tentang batu tersebut, ramai pengguna yang menyatakan ia kelihatan seperti kryptonite iaitu batu hijau yang digunakan untuk menentang Superman dalam filem tentang adiwira tersebut. - Sinar Harian/Agensi
#batu zamrud #kryptonite #superman #Zambia
;