Battersea Power Station London terima lebih 250,000 pengunjung pada pembukaan
Bernama
Oktober 20, 2022 13:46 MYT
Oktober 20, 2022 13:46 MYT
KUALA LUMPUR: Battersea Power Station di London menerima lebih 250,000 pengunjung semasa pembukaannya pada hujung minggu antara 14 dan 16 Okt untuk menyaksikan mercu tanda ikonik itu buat kali pertama dan meneroka laluan pejalan kaki utama baharu - Electric Boulevard.
Menurut Battersea Power Station Development Company (BPSDC) dalam kenyataan hari ini, jenama baharu melaporkan pembukaan yang cemerlang, melebihi sasaran jualan dengan ketara apabila orang ramai menikmati pengalaman membeli-belah dan menjamu selera.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon Murphy berkata sambutan orang ramai terhadap pembukaan Battersea Power Station dan Electric Boulevard adalah luar biasa dan melebihi jangkaan.
"Lebih suku juta orang daripada komuniti tempatan, dari seluruh London dan lebih jauh, datang mengunjungi stesen janakuasa yang telah dipulihkan itu pada peluang terawal, menunjukkan kekaguman orang ramai terhadap mercu tanda ikonik ini," katanya.
Menurut BPSDC, hampir 40 tahun selepas operasi dihentikan di salah satu mercu tanda yang paling bermakna di London, bangunan itu telah berubah daripada bangunan yang terbiar kepada pusat bandar baharu yang bersinar untuk London.
Battersea Power Station dibuka kepada orang ramai pada 14 Okt, selepas melalui proses baik pulih dan transformasi selama lapan tahun.
Pembangunan Battersea Power Station yang lebih luas itu dimiliki oleh konsortium pelabur Malaysia yang terdiri daripada SP Setia (40 peratus), Sime Darby Property (40 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (20 peratus), dengan aset komersial dalam bangunan stesen janakuasa itu kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan KWSP.
"Jenama British dan antarabangsa kini dibuka di Battersea Power Station yang termasuk Adidas, Nike, Mulberry, Theory, Lacoste, Ralph Lauren, Aesop, Space NK, Hugo Boss, Jo Malone London, Uniqlo dan Mango," katanya.
Lebih banyak jenama makanan dan minuman akan dibuka tidak lama lagi, termasuk Arcade Food Hall seluas 24,000 kaki persegi daripada JKS Restaurants, yang akan dibuka pada 2023.
"Turut dibuka dalam tempoh beberapa minggu akan datang ialah Lift 109, pengalaman lif kaca yang unik di dalam cerobong barat laut stesen janakuasa itu, menawarkan pemandangan panorama London yang menarik dari ketinggian 109 meter," katanya.
Pengunjung juga boleh menikmati Festival of Power, yang diteruskan pada 22 dan 23 Okt dengan persembahan di Pavilion Stage di Power Station Park dari 12 tengah hari - 8 malam dan persembahan busker dari 10 pagi - 6 petang.
-- BERNAMA