Bateri telefon tahan 50 tahun tanpa perlu dicas sedang dibangunkan
Amanz
Januari 13, 2024 16:30 MYT
Januari 13, 2024 16:30 MYT
HAYAT penggunaan dan waktu mengecas semula adalah dua faktor penting sebelum sesebuah telefon pintar dibeli.
Pada peranti moden sekiranya ia boleh bertahan sehingga sebelum waktu tidur, ia sudah dianggap cukup baik.
Tetapi jika terlupa dicas ia akan mendatangkan masalah keesokan harinya. Di China syarikat Betavolt mengumumkan kejayaan membina bateri nuklear yang boleh bertahan sehingga 50 tahun tanpa perlu dicas.
Bateri ini menggunakan isotop Nikel-63 yang menghasilkan kuasa 100 mikrowatts dan voltan 3V. Ia hanya bersaiz 15x15x15 milimeter yang sangat kompak.
Betavolt yakin mereka mampu menghasilkan bateri dengan kuasa 1W menjelang 2025. Apabila dipasang secara siri, kuasa yang lebih tinggi dalam dihasilkan. Sekiranya semuanya berjalan lancar telefon pintar yang tidak perlu dicas dan dron yang terbang selama-lamanya bakal menjadi realiti.
Bateri nuklear sudah dibangunkan sejak 1914 dengan terdapat dua versi satu mengubah haba yang terhasil dari proses reputan radioaktif menjadi kuasa elektrik menggunakan termogandingan. Satu lagi menggunakan partikel beta untuk menggerakkan elektron pada bahan semikonduktor bagi menghasilkan arus.
Anda mungkin tidak menyedari bateri nuklear daripada jenis partikel beta sudahpun wujud sejak 1970-an dengan ia digunakan sebagai bateri untuk mesin perentak jantung dalam tubuh manusia.
Bezanya dengan bateri Betavolt ialah kuasa bateri lebih rendah sekitar 1 mikrowatt dan hanya bertahan selama 12.5 tahun. - Amanz