Bateri saja tidak cukup, Jokowi mahu Tesla keluarkan kereta elektrik di Indonesia

Astro Awani
Ogos 20, 2022 10:10 MYT
Jokowi juga menyatakan, Indonesia sedang mempertimbangkan untuk mengenakan cukai ke atas eksport nikel tahun ini bagi meningkatkan pendapatan. - Foto fail/REUTERS
JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo mahu pembuat kenderaan elektrik (EV) Tesla mengeluarkan kereta dan baterinya di negara itu.
Laporan Bloomberg News memetik Jokowi berkata, Indonesia mahukan "ekosistem besar kereta elektrik" dan bukan hanya menggunakan sumber aslinya untuk membuat bateri.
Beliau juga menyatakan, Indonesia sedang mempertimbangkan untuk mengenakan cukai ke atas eksport nikel tahun ini bagi meningkatkan pendapatan.
Jokowi dan pegawai kanan kerajaan Indonesia mengadakan pertemuan dengan pengasas Tesla, Elon Musk, awal tahun ini.
Mereka telah memintanya untuk mempertimbangkan negara Asia Tenggara itu sebagai hab pembuatan kereta, selain membuat bateri.
Awal bulan ini, Menteri Kanan Indonesia, Luhut Pandjaitan berkata, Tesla telah mencapai perjanjian bernilai AS$5 bilion untuk membeli produk nikel daripada syarikat pemprosesan nikel yang beroperasi di luar Morowali, Indonesia di Pulau Sulawesi.
Bahan nikel akan digunakan dalam bateri litium Tesla.
Semasa pertemuan mereka pada Mei, Jokowi menjemput Musk melawat Indonesia pada November apabila negara itu akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin bagi Kumpulan 20 Ekonomi Utama (G20).
Syarikat-syarikat yang telah melabur atau telah mengumumkan rancangan pelaburan mereka dalam pembuatan kereta elektrik di Indonesia termasuk firma Jepun Toyota Motor dan Mitsubishi Motors serta Hyundai Motor Group dari Korea Selatan.
SGMW Motor Indonesia, sebahagian daripada usaha sama SAIC Motor, General Motors dan Wuling Motors mempunyai kilang pemasangan EV di negara yang kaya dengan sumber itu.
#Joko Widodo #Tesla #kereta elektrik #bateri
;