Batal wawancara kerana wartawan pakai telefon bimbit buatan China

Sinar Harian
Julai 20, 2024 13:30 MYT
Persatuan wartawan Sulawesi Tengah mendakwa tindakan pegawa polis itu menghina profesional kewartawanan. - Gambar hiasan
SEORANG wartawan sebuah stesen televisyen di Sulawesi melalui detik memalukan apabila sesi wawancaranya dengan seorang pegawai tinggi polis dibatalkan atas alasan dia menggunakan telefon bimbit ketika sesi itu diadakan.
Malah Ketua Biro SCTV Palu, Syamsuddin Tobone mendakwa, dia berasa terhina dengan kata-kata Pengarah Trafik Polis Daerah Sulawesi Tengah, Dodi Darjanto yang menyifatkan telefon bimbitnya itu kelihatan murah.
"Saya sudah bersedia untuk mewawancara dia pada jam 8.30 pagi Rabu, di Tugu O Kilometer Kota Palu, siap memakai seragam SCTV, kemas.
"Bagaimanapun selepas bersalam dan mula merakam sesi wawancara itu, dia lantas berkata, kenapa rakam menggunakan telefon bimbit? Saya tidak mahu, mengapa wawancara pakai telefon bimbit, buatan China lagi, suruh 'bos' kamu belikan yang lebih canggih," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Susulan insiden berkenaan, Syamsuddin berkata, dia cuba menjelaskan kepada Dodi bahawa rakaman dia menggunakan standard kualiti yang tinggi.
"Namun penjelasan saya tidak diendahkan, dan saya diminta oleh petugasnya untuk pulang dan jangan membantah," dakwanya.
Susulan insiden tersebut persatuan wartawan Sulawesi Tengah mendakwa tindakan Dodi itu menghina profesional kewartawanan.
"Kita tuntut dia memohon maaf," kata Abdee Mari wakil persatuan tersebut.
Dalam pada itu, selepas menerima kecaman dan tekanan Dodi kemudiannya tampil memohon maaf.
Dakwanya, dia hanya bergurau kepada wartawan berkenaan dan tidak bermaksud menghinanya. - Sinar Harian/ Agensi
#telefon buatan China #Tular #polis batal temu bual #wartawan dihalau
;