SEORANG penumpang wanita diugut pemandu teksi Uber di United Kingdom hanya kerana dia membatalkan tempahan teksi selepas beberapa minit ia dibuat.

Pensyarah Universiti, Anna Kealey, 28, berkata dia berasa cemas selepas mendengar mel suara yang dihantar oleh pemandu tersebut kepadanya.

Difahamkan, pemandu teksi berkenaan telah menggunakan kata-kata kesat seperti 'bodoh' sambil mengugut Anna agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Pemandu itu berkata, “Jangan buat lagi, jika tidak, saya akan bunuh awak."

Menurut Anna, selepas mendengar mesej suara itu, dia berasa takut dan terancam dengan ugutan tersebut.

"Terdapat bahagian-bahagian yang saya tidak faham apa yang dia katakan, tetapi ancaman ugutan bunuh itu cukup jelas,” katanya.

Anna kemudian berkongsi isu tersebut di laman Twitter untuk mendapatkan perhatian syarikat Uber.



Syarikat Uber membalas tweet tersebut dengan menyatakan bahawa pemandu teksi berkenaan telah digantung tugas dan siasatan penuh sedang dijalankan.


Anna, yang tinggal di Hackney, England dilapor menggunakan aplikasi teksi itu 10 hari lalu untuk bersarapan pagi dengan rakan-rakannya.

Namun, Anna hanya mendengar mesej tersebut pada hari ini apabila dia mengimbas semula semua mel suara yang diterima.

Menurut Evening Standard, Anna membatalkan tempahan tersebut kerana mengalami keresahan dan bercadang untuk berjalan sambil menghirup udara segar.

Bagaimanapun, perkara ini telah dilaporkan kepada pihak polis.

Menurut seorang jurucakap Uber, syarikat itu telah berbincang dengan penumpang untuk memastikan dia berada dalam keadaan baik dan mereka turut menggalakkan wanita tersebut melaporkan kes ini kepada pihak polis.

'Pemandu yang terlibat telah digantung serta-merta kerana ini polisi kami, dan kami sedang menyiasat kes ini sepenuhnya.'