AS batal status perdagangan khas HK, sekat pegawai China bertanggungjawab
Astro Awani
Mei 29, 2020 06:42 MYT
Mei 29, 2020 06:42 MYT
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan negara itu akan melaksanakan sekatan terhadap pegawai China yang bertanggungjawab menghakis autonomi Hong Kong (HK).
Katanya, proses menamatkan keistimewaan perdagangan khas telah bermula susulan tindakan Beijing mengawal wilayah itu.
"Serangan terbaharu China, bersama dengan perkembangan baru-baru ini yang merendahkan kebebasan wilayah itu menjelaskan bahawa Hong Kong tidak lagi mempunyai cukup autonomi untuk menjamin status istimewa yang telah kita berikan di wilayah itu sejak penyerahan dahulu," kata Trump.
Jelasnya, China telah menggantikan formula yang dijanjikan satu negara dua sistem kepada satu negara satu sistem.
Justeru, Trump mengarahkan pentadbirannya untuk memulakan proses penghapusan pengecualian polisi yang memberi HK hak keistimewaan di bawah undang-undang perdagangan AS.
"China telah menggantikan formula yang dijanjikan untuk satu negara, dua sistem dengan satu negara, kepada satu sistem.
"Oleh itu, saya mengarahkan pentadbiran saya untuk memulakan proses penghapusan pengecualian polisi yang memberi status yang berbeza dan istimewa kepada Hong Kong.
"Pengumuman saya hari ini akan mempengaruhi pelbagai perjanjian yang kita ada dengan Hong Kong daripada perjanjian ekstradisi kepada kawalan eksport terhadap teknologi penggunaan dan banyak lagi, dengan beberapa pengecualian.
"Kami akan menyemak nasihat perjalanan Jabatan Negara untuk Hong Kong yang mencerminkan peningkatan risiko pengawasan oleh alat keselamatan dari China.
"Kami akan mengambil tindakan untuk membatalkan status istimewa Hong Kong sebagai wilayah pelancongan yang terpisah dari wilayah lain di China.
"Amerika Syarikat juga akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk melaksanakan sekatan kepada pegawai PRC dan Hong Kong yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menghakis autonomi Hong Kong," kata Trump lagi.
Langkah itu, kata Trump, akan mempengaruhi pelbagai perjanjian yang dimeterai bersama HK termasuk perjanjian ekstradisi sehingga kawalan eksport AS mengenai teknologi dan banyak lagi.
Terdahulu, China mengumumkan pelannya awal minggu ini untuk mendapatkan kawalan penuh terhadap bekas wilayah Britain itu.
China memperkenalkan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong bagi memperketatkan kawalan ke atas bandar ditadbir secara separa autonomi itu.
#Donald Trump
#hakis autonomi HK
#Hong Kong
#penghapusan pengecualian polisi
#satu negara dua sistem
#status perdagangan khas
#undang-undang perdagangan AS