Bashar Assad didesak berundur
Astro Awani
Januari 9, 2013 07:42 MYT
Januari 9, 2013 07:42 MYT
Desakan kepada Presiden Syria Bashar Assad untuk berundur semakin kuat kedengaran.
Kali ini, desakan itu datang dari utusan khas Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi.
Menurut Lakhdar, tempoh pemerintahan dinasti Assad selama 40 tahun di Syria adalah terlalu lama.
Ujarnya, sebarang perubahan di Syria perlu serius dan Presiden Bashar wajar menyahut aspirasi rakyat dan bukan mengelaknya.
Ucapan Bashar pada ahad lalu, tidak banyak berubah daripada apa yang telah dikemukakan terdahulu malah ianya lebih berat sebelah, tegas Lakhdar.
Beliau turut mengingatkan Bashar bahawa tempoh untuk melakukan pembaharuan sudah pun berlalu.
Kenyataan terbaru Lakhdar itu bakal mencetuskan keraguan mengenai masa depan pelan damai yang dikemukakannya sebelum ini.
Kenyataan Lakhdar itu disambut baik oleh kumpulan antikerajan yang sebelum ini kecewa dengan keengganan utusan khas itu untuk mengambil pendirian tegas terhadap Bashar.